Pelaburan Diluluskan Malaysia Pada Suku Pertama 2025 Bukti Ketahanan Ekonomi
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pelaburan yang diluluskan di Malaysia pada suku pertama 2025 membuktikan ketahanan ekonomi serta daya tarikan berterusan negara sebagai destinasi pelaburan walaupun terdapat ketidaktentuan global yang berterusan, kata para penganalisis ekonomi.
Malaysia merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM89.8 bilion pada suku pertama 2025 iaitu peningkatan tahunan sebanyak 3.7 peratus dengan pelaburan asing menyumbang RM60.4 bilion dan pelaburan domestik sebanyak RM29.4 bilion.
Pensyarah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata hasil tersebut juga mencerminkan Malaysia sebagai destinasi yang menarik bagi pelabur antarabangsa.
Katanya, kejayaan pelaburan ini dipacu menerusi lokasinya yang strategik, infrastruktur yang kukuh dan dasar mesra pelabur.
“Pelabur asing amat tertarik dengan tenaga kerja berkemahiran di Malaysia, persekitaran ekonomi yang stabil serta akses kepada pasaran utama di Asia seperti ASEAN dan China.
"Kebergantungan yang tinggi terhadap pelaburan asing ini mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap prospek ekonomi jangka panjang Malaysia terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti elektronik, perkhidmatan digital dan tenaga bersih,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Irwan berkata teknologi dan ekonomi digital, tenaga boleh baharu, elektronik dan semikonduktor, penjagaan kesihatan, logistik serta e-dagang dijangka menjadi pemacu pelaburan berterusan di Malaysia pada suku akan datang walaupun terdapat ketegangan perdagangan global.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata keupayaan Malaysia untuk memperoleh hampir RM90 bilion pelaburan yang diluluskan pada suku pertama di tengah-tengah suasana global yang tidak menentu yang ditandai dengan ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik, mengukuhkan daya tarikan pelabur negara.
“Pertumbuhan pelaburan sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun dengan pelaburan langsung asing menyumbang sebahagian besar, mengesahkan kredibiliti negara sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berpotensi tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, Shan berkata cabaran seperti geseran perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China dan kecenderungan perlindungan boleh menjejaskan rantaian bekalan dan melemahkan permintaan luaran.
“Oleh itu, meletakkan kedudukan Malaysia sebagai hab ASEAN yang neutral dan sangat cekap akan menjadi pemangkin utama bagi mengharungi ketidaktentuan global sambil mengekalkan momentum pertumbuhan jangka panjang. Malaysia terus kekal menjadi tumpuan pelabur global,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan pelaburan yang diluluskan menunjukkan minat pelaburan dalam kalangan firma swasta kekal utuh walaupun terdapat ketegangan perdagangan AS-China.
Beliau menekankan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Januari 2025 menghasilkan pelaburan yang ketara dari Singapura yang berjumlah RM28.3 bilion.
“Johor merekodkan bahagian pelaburan yang diluluskan tertinggi, mempamerkan potensi JS-SEZ bagi merangsang integrasi ekonomi serantau selain mencetuskan kesan limpahan, terutamanya dalam industri pembinaan dan pusat data,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran iaitu ketidaktentuan yang berterusan mengenai rundingan tarif AS boleh menjejaskan sentimen perniagaan dan melambatkan aliran pelaburan masa depan.
“Keputusan rundingan ini akan dipantau dengan teliti. Prospek bagi separuh kedua 2025 kelihatan semakin mencabar apabila dunia menunggu hasil rundingan tarif tersebut,” katanya.
-- BERNAMA