BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | Anwar akui GST efisien dan telus namun belum sesuai dilaksanakan kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah | 

Johor Berjaya Cipta 33,000 Peluang Pekerjaan Hasil Daripada Pelaburan Tertinggi

JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Johor berjaya menghasilkan 33,000 peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pemindahan teknologi dan kepakaran serta mengukuhkan daya saing ekonomi negeri berikutan berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi maju. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain itu, peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam menarik pelaburan juga semakin ketara hasil daripada insentif pelaburan yang kompetitif serta kedudukan strategik Johor yang berdekatan Singapura. 

"Zon ini menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada empat juta Bangsa Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Semalam, media melaporkan Johor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion yang menjadikan negeri itu sebagai peneraju utama pelaburan negara.

Onn Hafiz berkata kejayaan itu turut memperkukuh agenda Maju Johor yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri yang makmur dan mampan melalui dasar mesra pelabur serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

"Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa memberikan sokongan dan nasihat dalam memastikan fokus yang berterusan terhadap pembangunan ekonomi negeri, demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor, " katanya. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan berkenaan. 

"Johor akan terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk Johor. Insya-Allah," tambahnya. 

-- BERNAMA