150 Syarikat Di Perak Terima Manfaat Kemudahan Perdagangan MATRADE
IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak 150 syarikat di Perak menerima manfaat menerusi program pembangunan pengeksport dan kemudahan perdagangan yang disediakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sejak tahun lepas sehingga Mei tahun ini.
Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata geran berjumlah RM1.76 juta disalurkan kepada syarikat di Perak dan mereka berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM124.62 juta.
Beliau berkata sebanyak 13,535 syarikat di negara ini berdaftar dengan MATRADE setakat 31 Mei tahun ini apabila sebanyak 595 atau empat peratus dari jumlah tersebut merupakan syarikat dari Perak.
"Syabas diucapkan kepada syarikat dari Perak dan saya berharap lebih ramai lagi akan mengambil bahagian dalam pelbagai program MATRADE pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Eksport Perak 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata hampir 600 syarikat di Perak berdaftar dengan MATRADE sehingga Mei tahun ini selain menggesa lebih banyak syarikat tampil berdaftar untuk mendapatkan peluang bimbingan eksport.
"Pada 2024 sehingga Mei 2025, MATRADE melaksanakan lebih 50 program khidmat nasihat dan latihan pengeksport serta memberikan kemudahan eksport yang melibatkan penyertaan dan penerimaan geran oleh 782 syarikat dari Perak yang berjaya mencapai jualan eksport sebanyak RM1.90 bilion.
"Sementara itu, sebanyak 118 syarikat dari Perak menyertai program promosi eksport yang dianjurkan MATRADE di dalam dan luar negara yang berjaya menjana hasil jualan eksport sebanyak RM1.65 bilion.
Reezal Merican berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak mencatatkan eksport bernilai RM8.76 bilion pada tahun lepas, meningkat sebanyak 48.8 peratus berbanding pada 2023.
Beliau berkata peningkatan yang memberangsangkan ini membuktikan potensi eksport di peringkat negeri sangat besar dan perlu digerakkan secara progresif.
Hari Eksport Perak 2025 yang dianjurkan MATRADE dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) berlangsung selama dua hari sejak semalam disertai kira-kira 150 usahawan tempatan.
Program itu diadakan sebagai menyokong agenda kerajaan negeri melahirkan lebih ramai pengeksport dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain meningkatkan kesedaran berhubung peluang eksport.
Antara objektif utama program ini iaitu memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan serta sektor swasta dalam ekosistem eksport negara di samping menggalakkan syarikat tempatan meneroka pasaran antarabangsa secara mampan selain terus berdaya saing.
-- BERNAMA