Firma Mosca Dari Jerman Buka Kemudahan Pembuatan Termaju Di Johor
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Syarikat dari Jerman, Mosca GmbH merasmikan kemudahan pembuatan baharu termajunya di Ulu Tiram, Johor, sekali gus menandakan pengembangan ketiga syarikat itu di Malaysia sejak 2009.
Mosca terlibat terutamanya dalam pengeluaran mesin jalinan yang cekap serta berkualiti tinggi dan sistem kompleks bagi tujuan keselamatan barangan yang diangkut.
Kompleks baharu di Johor ini beroperasi dengan nama Maschinenfabrik Gerd Mosca Sdn Bhd (MGM).
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Mosca Timo Mosca berkata Malaysia merupakan pencapaian yang strategik dalam perjalanan syarikat milik keluarga itu ke peringkat antarabangsa.
“Dengan perasmian kemudahan baharu hari ini (10 Jun), kami memperkukuh legasi tersebut, sambil memberikan isyarat kukuh mengenai pertumbuhan mampan, kerjasama rentas sempadan, dan visi keusahawanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Mosca.
Menurut Mosca, syarikat itu mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan di semua peringkat dan komited meningkatkan kemahiran pekerja dengan mereka secara berkala ke ibu pejabat syarikat di Jerman untuk latihan lanjutan.
Syarikat itu turut memberikan tumpuan khas kepada individu yang mempunyai akses terhad kepada pendidikan di Johor dengan menawarkan mereka peluang pekerjaan yang lebih baik, katanya.
“Kami membekalkan mereka dengan peralatan, peluang dan kepercayaan yang sama seperti di mana-mana sahaja di dunia. Kami bukan sekadar pelabur asing, malah kami adalah sebahagian daripada komuniti Johor,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata fasiliti baharu Mosca ini mencerminkan padanan sempurna antara keunggulan kejuruteraan Jerman dan aspirasi industri Malaysia.
“Komitmen mereka terhadap amalan pembuatan mampan dan pembangunan tenaga kerja secara langsung menyokong visi Ekonomi MADANI.
“Pengembangan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pembuatan berteknologi tinggi, sambil mewujudkan peluang bernilai untuk bakat tempatan dan rakan rantaian bekalan,” katanya.
-- BERNAMA