BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

SCIB Lantik Pengamal Undang-undang Sebagai Pengerusi Eksekutif Dalam Rombakan Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mengumumkan rombakan lembaga pengarah bagi meningkatkan tadbir urus korporat, mengukuhkan kepimpinan dan menyokong inisiatif pertumbuhan strategik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pakar sistem bangunan perindustrian itu berkata Datuk Chong Loong Men telah dilantik sebagai pengerusi eksekutif yang baharu.

“Chong mempunyai pengalaman yang luas dalam perundangan dan kawal selia, kerana memulakan kerjayanya sebagai timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara sebelum beralih ke sektor swasta.

“Beliau merupakan pengasas bersama firma guaman terkemuka dan telah berkhidmat sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat tersenarai awam, sekali gus membawa pengalaman berharga mengenai kawal selia dan tadbir urus korporat,” kata SCIB.

Syarikat itu juga mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Datuk Seri Zaini Jass dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kang Wei Luen, Ooi Hoot Kuang dan Ng Cheng Shin.

Sementara itu, Tan Li Peng akan menyertai lembaga pengarah sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Tan, pengamal undang-undang yang mengkhusus dalam undang-undang korporat, mempunyai lebih 15 tahun pengalaman perundangan dan ketika ini berkhidmat sebagai rakan kongsi di Messrs Loh Poh Seng & Co.

Turut dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif ialah Leow Wey Seng.

Beliau mempunyai pengalaman profesional termasuk khidmat nasihat dan jaminan di Deloitte, serta berperanan sebagai penasihat korporat dan terlibat dalam syarikat perdagangan milik keluarga, khususnya mengenai strategi korporat dan pengurusan operasi.

-- BERNAMA