Nikkei Forum Medini: Lebih 100 Peserta Antarabangsa Sahkan Penyertaan
Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Lebih 100 peserta antarabangsa dari Jepun, Singapura, Korea Selatan, Eropah dan negara-negara ASEAN sudah mengesahkan penyertaan bagi menghadiri Nikkei Forum Medini Johor 2025 yang akan berlangsung pada 18 hingga 19 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss berkata forum bertemakan “Driving Asia’s Innovation Hub”, anjuran bersama Nikkei Inc. dan Iskandar Investment Berhad (IIB) di Medini, Iskandar Puteri itu bakal menghimpunkan tokoh-tokoh korporat, pemimpin industri dan pelabur serantau.
“Penganjuran forum ini di Johor mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu dan memberi pendedahan global kepada potensi pelaburan di Medini dan kawasan sekitar Zon Ekonomi Khas Johor Singapura (JS-SEZ),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Natazha berkata antara topik utama yang akan dibincangkan sepanjang forum berlangsung termasuk Peralihan tenaga hijau dan pelaburan yang boleh diperbaharui, Bandar pintar dan infrastruktur digital, Pembangunan bakat untuk ekonomi yang dipacu oleh inovasi dan Kerjasama serantau di bawah JS-SEZ.
Selain mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun, penganjuran forum ini dijangka dapat menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor tenaga bersih, teknologi, logistik dan penjagaan kesihatan yang secara langsung memperkukuh ekosistem perniagaan dan pelaburan di Johor.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama forum berprestij itu dianjurkan di Medini yang merupakan zon pembangunan utama dalam Iskandar Malaysia dengan dilengkapi infrastruktur moden dan kemudahan bertaraf antarabangsa.
Medini juga menjadi lokasi utama dalam pelaksanaan JS-SEZ dan Daerah Pusat Perniagaan (CBD) yang baharu untuk Johor Bahru, menjadikannya simbol strategik kerjasama rentas sempadan Johor-Singapura.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata penganjuran forum itu membantu mengekalkan momentum pemerkasaan JS-SEZ yang kini berada di ambang pelaksanaan fasa awal.
Beliau berkata dengan pentas antarabangsa seperti Nikkei Forum, ia bukan sahaja menampilkan kesediaan infrastruktur dan dasar, tetapi juga menghantar isyarat jelas bahawa JS-SEZ akan menjadi platform pelaburan bertaraf dunia.
“Kehadiran tokoh-tokoh korporat, pelabur dan pembuat dasar mencerminkan keyakinan terhadap pendekatan Johor dan Singapura dalam membangunkan ekosistem ekonomi rentas sempadan yang bukan sahaja kompetitif, malah responsif terhadap perubahan global.
“JS-SEZ sebagai model baharu kerjasama dua negara yang mampu memendekkan kitaran pelaburan, mempercepatkan integrasi rantaian bekalan, serta membuka pasaran baharu kepada pelabur yang ingin memanfaatkan kelebihan dan kekuatan Malaysia dan Singapura,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri forum itu.
-- BERNAMA