Jualan Sektor Pembuatan Naik 4.8 Peratus Pada April
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan peningkatan 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM160.6 bilion pada April 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang terus mencatatkan pertumbuhan dua angka dengan kenaikan sebanyak 11.1 peratus.
"Ini diikuti dengan pertumbuhan stabil dalam subsektor peralatan elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang masing-masing meningkat 9.8 peratus dan 4.6 peratus," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, perbandingan dengan bulan sebelumnya menunjukkan nilai jualan menurun sebanyak 2.3 peratus kepada RM160.6 bilion berbanding RM164.3 bilion.
Mohd Uzir berkata industri berorientasikan eksport yang merangkumi 70.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan, mencatatkan pertumbuhan yang didorong terutamanya oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan.
Sementara itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optik meningkat 10.6 peratus, manakala jentera dan peralatan mencatatkan kenaikan sebanyak 7.9 peratus.
Industri berorientasikan domestik berkembang 3.6 peratus pada April, disokong oleh peningkatan sebanyak 10.0 peratus dalam pembuatan produk pemprosesan makanan, 5.9 peratus dalam industri logam asas dan 3.7 peratus dalam produk logam (tidak termasuk mesin dan kelengkapan).
Mengenai jumlah pekerja, Mohd Uzir berkata sektor tersebut mencatatkan 2.40 juta pekerja pada April, meningkat sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun.
“Peningkatan itu banyak disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (1.9 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (1.9 peratus); serta produk elektrik dan elektronik (1.3 peratus),” katanya.
Gaji dan upah yang dibayar pada April juga mencatatkan peningkatan 2.4 peratus kepada RM8.3 bilion berbanding tahun sebelumnya, walaupun merosot 0.9 peratus daripada RM8.4 bilion pada Mac.
Sehubungan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 3.6 peratus kepada RM66,907. Purata gaji dan upah setiap pekerja pula bertambah sebanyak 1.2 peratus kepada RM3,460.
-- BERNAMA