Masa Untuk Malaysia Terajui Penyelidikan Dan Inovasi Dalam Ekonomi Islam - Universiti INCEIF
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Universiti INCEIF menggesa Malaysia untuk menerajui penyelidikan dan inovasi global dalam ekonomi Islam serta membina reputasinya yang mantap sebagai peneraju dalam kewangan Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata negara mesti membangunkan sistem ekonomi Islam yang berasaskan nilai, ihsan dan keseimbangan yang kukuh supaya kemakmuran terangkum serta memberi manfaat kepada semua anggota masyarakat.
Bagi menyokong gesaan ini, katanya pihak universiti menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE).
Menurut Mohd Azmi i-RISE sejajar dengan Bidang Fokus Utama Enam Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) yang mengutamakan kemajuan pengetahuan, pembinaan kapasiti dan pembangunan institusi dalam kewangan Islam.
"i-RISE juga memenuhi mandat Projek Impak Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) 7 yang menggesa penubuhan Pusat Kecemerlangan Ekonomi Islam iaitu usaha kerjasama di antara Universiti INCEIF dengan MLC," katanya pada majlis pelancaran i-RISE hari ini.
Penubuhan pusat itu juga merupakan hasil ketara dari inisiatif Universiti INCEIF dan MLC untuk mewujudkan hab penyelidikan akademik yang bertujuan memajukan ekonomi Islam selain menghubungkannya dengan lebih berkesan dengan kewangan Islam, seperti yang digariskan dalam MLC Position Paper 2024.
Pemacu utama di belakang i-RISE merupakan Dana Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (IERIF) iaitu sebuah inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2024 dan 2025.
Sehingga kini, Kementerian Kewangan menyalurkan lebih RM12 juta di bawah IERIF untuk menyokong penyelidikan berimpak tinggi dan projek akademik, bermula daripada penyelesaian mikro-takaful untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kepada pembaharuan pasaran buruh yang beretika.
Mohd Azmi berkata i-RISE, melalui IERIF memupuk ekosistem penyelidikan bersama yang melibatkan cendekiawan dari dalam Malaysia dan luar negara, bekerjasama dengan industri selain melibatkan pengamal dan pengawal selia.
“Kami sedang mewujudkan sebuah platform nasional untuk memajukan penyelidikan berimpak tinggi dan menghasilkan pengeluaran yang bertumpukan dasar serta berasaskan amalan iaitu penyelidikan yang tidak hanya tersimpan di rak, tetapi memberi kesan nyata kepada kehidupan,” katanya.
Beliau menambah sebanyak 54 projek diluluskan di bawah IERIF setakat ini.
Bagi memastikan kesepaduan dan hala tuju strategik, Mohd Azmi berkata i-RISE berpaksikan lima tonggak penyelidikan utama iaitu ekonomi saksama, kemampanan alam sekitar, keberkesanan sistem dan dasar monetari, kewangan Islam dan ekonomi halal.
"Tonggak ini membimbing cara kami memperuntukkan IERIF iaitu bukan semata-mata sebagai pembiayaan, tetapi sebagai platform penyelidikan nasional dengan keutamaan tertakrif, hasil sebenar dan hasil yang boleh diukur. Ia merupakan persoalan moral yang mesti kami jawab," kata Mohd Azmi.
Dengan pelancarannya, i-RISE menyertai dua pusat kecemerlangan lain di bawah Institut ISRA iaitu Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam dan Pusat Kecemerlangan Syariah Gunaan dalam Ekonomi dan Kewangan dalam menerajui penyelidikan perintis selain kerja berasaskan dasar dalam ekonomi serta kewangan Islam.
-- BERNAMA