Capital A Di Peringkat Akhir Keluar Daripada Status PN17- Tony Fernandes

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Pelan penyusunan semula Capital A Bhd untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) kini berada di peringkat akhir dengan 15 hingga 20 peratus masih belum selesai yang dijangka siap selewat-lewatnya akhir Julai 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes.

“Membina syarikat penerbangan amat mencabar, namun untuk keluar daripada PN17 adalah lebih sukar. Kami kini berada pada tahap 15 hingga 20 peratus terakhir, saya dapat melihat garisan penamatnya.

“Kami hanya perlu melepasi halangan PN17 itu, dan saya fikir kami hampir selesai. Ia di luar kawalan saya, tetapi sasaran terkini kami adalah pada akhir Julai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Capital A diletakkan di bawah kategori PN17 Bursa Malaysia bagi entiti bermasalah kewangan pada Januari 2022.

Fernandes berkata kumpulan itu sedang menyelesaikan beberapa perkara akhir sebelum memuktamadkan pelan keluar daripada status PN17 -- antaranya memuktamadkan cadangan pelupusan keseluruhan 100 peratus kepentingan dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) kepada (AAX).

AAAGL mengendalikan perkhidmatan penerbangan penumpang melalui anak syarikat di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

“Cadangan kami memerlukan tiga lagi perkara untuk diselesaikan. Pertama, Bursa Saham Thailand (SET) perlu memberikan persetujuan (mengenai cadangan pelupusan ini) -- kami mempunyai pelan sokongan jika ia tidak dipersetujui, tetapi saya yakin ia akan diluluskan.

“Kedua, kami memerlukan lima surat persetujuan daripada kreditor dan telah menerima empat daripadanya, manakala perkara ketiga adalah suntikan ekuiti sebanyak RM1 bilion yang kami telah ada,” katanya.

Fernandes berkata sebaik sahaja cadangan pelupusan perniagaan penerbangan AirAsia selesai, kumpulan itu akan memohon pengesahan mahkamah bagi pelan pengurangan modalnya.

Sementara itu, mengulas mengenai rancangan Capital A bagi potensi penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong (HKEX), Fernandes berkata lembaga pengarah syarikat telah memberikan kelulusan dan serius dalam usaha untuk merealisasikan cadangan berkenaan.

Beliau turut mengesahkan hasrat kumpulan itu untuk menyenaraikan cabang pengurusan jenamanya ABC International di pasaran Nasdaq di Amerika Syarikat (AS).

“Sebaik sahaja kami keluar daripada PN17, terdapat dua perkara boleh saya katakan iaitu pertama; penyenaraian di Hong Kong dan kedua, kami akan meneruskan semula penyenaraian ABC International, yang dahulunya dikenali sebagai Capital A International di AS,” katanya.

-- BERNAMA