BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

Petronas Perkenal Program Sokongan Kepada Kakitangan Terjejas Susulan Pengurangan Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperkenalkan program peralihan komprehensif bagi menyokong kakitangan yang terjejas dengan cadangan pengurangan tenaga kerja berikutan syarikat itu melaksanakan transformasi strategik utama bagi memastikan operasinya bersiap siaga dan kekal berdaya saing dalam landskap tenaga global yang berubah-ubah.

Menurutnya program berkenaan menawarkan pelbagai sokongan termasuk pakej pemisahan yang berdaya saing di pasaran, bimbingan kerjaya, bantuan mencari pekerjaan, perkhidmatan sokongan emosi, bantuan perubatan, peluang menambah kemahiran dan latihan semula, dan panduan perancangan kewangan.

Petronas dalam kenyataan hari ini berkata faedah yang ditawarkan akan disesuaikan mengikut tempoh perkhidmatan, kategori pekerja dan kelayakan.

“Semua keputusan dilaksanakan dengan adil, hormat dan profesionalisme,” katanya.

Sementara itu, Petronas telah menubuhkan Majlis Peralihan dan Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia untuk memantau pemetaan bakat dan keputusan penempatan melalui platform yang berstruktur.

Menurutnya ia turut bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan berkanun.

Petronas berkata ia turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui MyFutureJobs bagi mengenal pasti peluang pekerjaan berpotensi kepada pekerja terjejas yang layak dalam sektor lain.

Perbincangan juga sedang dijalankan dengan syarikat berkaitan kerajaan bagi memudahkan kepada kemungkinan penugasan semula, katanya.

Selain itu, pekerja yang berminat dalam bidang keusahawanan akan mendapat akses kepada Petronas Innovation Garage, yang menawarkan bimbingan ke arah pemilikan perniagaan.

 Pada 5 Jun lepas, Petronas mengumumkan bakal mengurangkan 10 peratus daripada tenaga kerjanya melalui langkah penyusunan semula secara menyeluruh syarikat berikutan ia berusaha untuk mengurangkan kos akibat kejatuhan harga minyak mentah dan ketidaktentuan pasaran yang memberi kesan kepada keuntungannya.

-- BERNAMA