BERITA TERKINI   GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | Anwar akui GST efisien dan telus namun belum sesuai dilaksanakan kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah | 

CGC Digital, B2B Finpal Lancar Pembiayaan Jangka Pendek Untuk PMKS

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melalui anak syarikat teknologi kewangannya, CGC Digital bekerjasama dengan platform pembiayaan rakan setara (P2P) B2B Finpal untuk melancarkan skim pembiayaan jangka pendek bagi menambah baik akses modal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam kenyataan bersama hari ini, CGC Digital dan B2B Finpal berkata kerjasama itu bagi memperkenalkan jaminan kredit yang disesuaikan untuk menyokong produk pembiayaan pembelian B2B Finpal.

Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi membantu PMKS memenuhi pesanan pembelian yang lebih besar, dengan tempoh pendek sehingga 120 hari bagi memudahkan perolehan tanpa tekanan kewangan serta-merta. Kelulusan dijanjikan dalam tempoh lima hari.

“Kerjasama ini menandakan fasa pertama bagi satu program yang lebih luas dan boleh diskalakan, dengan kedua-dua pihak komited membangunkan bersama produk pembiayaan tambahan bagi terus meningkatkan keterangkuman kewangan untuk PMKS di seluruh Malaysia.

“Produk Pembiayaan Pembelian ini juga akan ditawarkan di imSME, platform rujukan pembiayaan dalam talian pertama di Malaysia untuk PMKS yang dikendalikan oleh CGC Digital, bagi meningkatkan keterlihatan dan kebolehcapaian, sekali gus membolehkan lebih banyak perniagaan mengenal pasti dan mendapatkan penyelesaian pembiayaan yang sesuai,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital Yushida Husin berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk menambah baik akses kepada pembiayaan bagi PMKS dengan bekerjasama bersama penyedia pembiayaan alternatif.

“Dengan menerima inovasi dan kerjasama, kami sedang membina ekosistem pembiayaan yang lebih inklusif bagi memenuhi keperluan PMKS Malaysia yang semakin berkembang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.cgcdigital.com.my, www.imsme.com.my, atau www.b2bfinpal.com.

-- BERNAMA