Malaysia, Poland Sedia Perkukuh Hubungan Dalam Industri Halal, Pertahanan, Hidrogen Hijau Dan Teknologi Digital - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Poland perlu mempamerkan keupayaan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam sektor utama seperti industri halal, pertahanan, teknologi digital dan hidrogen hijau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media bersama dengan Presiden Poland Andrzej Duda, Anwar berkata kekuatan Poland dalam teknologi moden dan maju menjadikannya rakan yang semakin penting dalam Kesatuan Eropah dan rantau ini.
“Kita perlu mempamerkan keupayaan Malaysia dan Poland untuk bekerjasama dalam bidang yang telah dibincangkan termasuk industri halal dan dengan kekuatan anda dalam teknologi moden,” kata beliau.
Anwar berkata lawatan peringkat tinggi terakhir Poland ke Malaysia adalah pada 1999 dan sejak itu, negara tersebut telah mencapai pertumbuhan yang luar biasa terutamanya dalam teknologi baharu, kecerdasan buatan, teknologi makanan dan tenaga hijau.
“Saya berharap dapat meningkatkan hubungan dua hala ini dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, perdagangan, pelaburan, teknologi digital, tenaga boleh baharu dan kepakaran baharu anda (Poland) dalam hidrogen hijau,” kata beliau.
Presiden Duda dan isteri tiba di Putrajaya semalam untuk lawatan rasmi tiga hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan peningkatan yang pesat dalam perdagangan dua hala apabila perdagangan Malaysia-Poland meningkat sebanyak 19.5 peratus dari 2023 hingga 2024.
“Pertumbuhan perdagangan yang pesat amat dialu-alukan - meningkat 19.5 peratus tahun ke tahun dari 2023 hingga 2024 telah mencatatkan pencapaian luar biasa yang menunjukkan potensi perdagangan dua hala, pelaburan dan hubungan dengan Republik Poland,” kata beliau.
Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin telah mengadakan perbincangan yang mendalam untuk meningkatkan eksport minyak sawit, produk kayu dan getah serta kerjasama dalam bidang elektrik dan elektronik, termasuk meneroka inisiatif hidrogen hijau.
Sementara itu, Duda menyifatkan lawatannya ke Malaysia sebagai penting terutamanya apabila Poland telah melalui transformasi politik dan ekonomi yang besar sejak lawatan presidennya pada 1999.
“Malaysia hari ini merupakan rakan dagang kedua terbesar kami di rantau ini dan perdagangan dua hala telah mencatatkan pertumbuhan yang pesat,” katanya, sambil menambah beliau berharap untuk menyaksikan akses pasaran yang lebih luas untuk produk Poland di Malaysia.
Duda berkata beliau telah menyerahkan dokumen tidak rasmi kepada Anwar, yang disediakan oleh Kementerian Luar Negeri dan Pertanian Poland, menggariskan cadangan untuk meningkatkan eksport produk agromakanan Poland ke Malaysia, termasuk daging ayam dan daging khinzir.
Beliau turut menggesa pelabur Malaysia untuk mempertimbangkan peluang di Poland, menekankan pelbagai insentif termasuk geran, pelepasan cukai, pinjaman dan latihan tenaga kerja.
Mengenai kerjasama tenaga, beliau berkata Poland ialah pengeluar hidrogen kelima terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Kesatuan Eropah serta terbuka kepada kerjasama dengan Malaysia dalam teknologi tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.
“Kami membincangkan potensi kerjasama penyelidikan dan pembangunan dalam bahan api dan hidrogen serta saya memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa Poland mempunyai pakar dan pasaran yang besar untuk menyokong usaha sama itu,” katanya.
-- BERNAMA