BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Semakan, Perluasan SST Mencerminkan Pendekatan Pragmatik Untuk Kemampanan Fiskal - CTIM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Usaha kerajaan untuk memperluaskan asas cukai dengan memasukkan lebih banyak sektor ke dalam rejim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah selaras dengan trend global dan mencerminkan pendekatan pragmatik terhadap kemampanan fiskal, menurut Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM).

Presiden Soh Lian Seng berkata rasional di sebalik semakan dan peluasan SST adalah untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara bagi menyokong kesejahteraan rakyat dengan lebih baik dan menjadikan SST satu bentuk cukai yang lebih progresif dan bersasar.

“CTIM melihat langkah ini sebagai penggunaan cukai tidak langsung yang tepat pada masanya dan strategik untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa perlu mengenakan cukai langsung tambahan atau memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan secara bersasar serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.

Menurut Soh, institut itu akan terus menganalisis perintah-perintah warta secara terperinci dan memberi maklum balas sekiranya timbul sebarang percanggahan dengan perundangan atau amalan semasa.

Beliau berkata CTIM komited untuk membantu komuniti perniagaan dalam memahami inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Pada masa yang sama, kami akan mengemukakan cadangan penambahbaikan yang bersesuaian, dengan semangat kerjasama dan kepentingan nasional yang dikongsi bersama.

“Kejelasan melalui perintah warta dan pendekatan yang bersasar adalah sesuatu yang terpuji. Kami menggalakkan kesinambungan libat urus dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri,” tambahnya.

Bagi memastikan peralihan yang lancar, CTIM mencadangkan agar kerajaan menubuhkan saluran sokongan khusus seperti talian hotline, e-mel, atau perbualan langsung yang dikendalikan oleh pegawai berpengetahuan bagi memberikan maklum balas tepat pada masanya dan meminimumkan risiko-risiko ketidakpatuhan.

“CTIM mengalu-alukan pengeluaran peraturan dan panduan peralihan untuk menyokong proses pelaksanaan. Walaupun langkah ini amat membantu, kami menjangkakan libat urus yang seterusnya dengan pihak berkuasa akan diperlukan untuk menangani isu-isu praktikal yang mungkin timbul,” katanya.

-- BERNAMA