BERITA TERKINI   Penyanyi veteran era 80-an Zaleha Hamid meninggal dunia 8.30 malam ini pada usia 70 tahun | 

Harga Saham Yinson Melonjak Berikutan Rundingan Ambil Alih Memasuki Peringkat Lanjutan - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Harga saham Yinson Holdings Bhd terus diniagakan tinggi sejak Jumaat lepas, mencecah RM2.39 pada 10.12 pagi selepas terdapat laporan bahawa firma pelaburan infrastruktur yang berpangkalan di New York, Stonepeak Partners berada dalam rundingan eksklusif untuk mengambil alih Yinson dalam perjanjian yang boleh menilai syarikat itu sehingga RM9 bilion.

Menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini, jumlah itu bersamaan dengan RM3.23 sesaham berdasarkan 2.78 bilion saham sedia ada di Yinson, mewakili premium sebanyak 38.0 peratus berbanding harga penutup terakhir sebanyak RM2.34 sesaham serta premium 10.2 peratus berbanding harga sasarannya RM2.93 sesaham.

Katanya pasaran memberi reaksi positif terhadap laporan tersebut, dengan harga saham Yinson naik sebanyak 13.8 peratus pada 6 Jun lepas, kenaikan paling ketara sejak Jun 2019.

“Kenaikan ini membantu mengurangkan kerugian saham bagi tahun ini setakat ini daripada 33.7 peratus kepada 11.4 peratus, meningkatkan permodalan pasaran Yinson kepada kira-kira RM6.5 bilion.

“Pada pandangan kami, aturan eksklusif ini menunjukkan urus niaga tersebut telah memasuki peringkat lanjutan rundingan, dengan keluarga Lim yang merupakan pengasas Yinson memegang kepentingan sebanyak 26.6 peratus,” katanya.

Menurut CIMB Securities, perjanjian ini juga dijangka dapat membantu Stonepeak meningkatkan penyertaannya dalam infrastruktur tenaga di Asia Pasifik serta Yinson telah membina kedudukan yang kukuh dan semakin berkembang.

Sementara itu, Yinson enggan mengulas mengenai pengambilalihan tersebut dan menyatakan maklumat itu masih belum dapat disahkan.

Pada 10.21 pagi, sebanyak 2.07 bilion saham diniagakan.

-- BERNAMA