BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Pada Paras RM4.22-RM4.23 Berbanding Dolar US Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Ringgit mungkin diniagakan sekitar RM4.22 hingga RM4.23 pada minggu depan, kata seorang penganalisis. 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beberapa data ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan dikeluarkan pada minggu depan seperti Indeks Harga Pengguna AS (CPI) dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) untuk Mei yang akan menentukan pergerakan pasaran.

"Walaupun data tersebut mungkin menunjukkan penurunan dalam kadar inflasi, Rizab Persekutuan AS dijangka akan lebih berwaspada kerana ia sedar potensi tekanan inflasi yang akan timbul daripada gelombang tarif.

"Tambahan pula, respons dari tinjauan Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS menunjukkan bahawa perniagaan telah menjadi lebih pesimis berikutan kenaikan tarif yang telah menjejaskan rantaian bekalan dan mengakibatkan kos operasi yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama.

Ringgit mengakhiri minggu ini lebih tinggi berbanding dolar US, ditutup pada paras 4.2270/2360 daripada 4.2530/2605 yang disaksikan pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih mantap berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9324/9390 daripada 2.9531/9585 dan menokok berbanding pound British kepada 5.7212/7334 daripada 5.7284/7385.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 4.8268/8371 daripada 4.8169/8254 yang dicatatkan pada akhir minggu lepas. 

 Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit bertambah baik kepada 3.2862/2934 daripada 3.2938/3002 minggu sebelumnya, ia juga melonjak berbanding rupiah Indonesia untuk ditutup pada 259.5/260.2 daripada 260.4/261.1 dan mengukuh berbanding peso Filipina pada 7.58/7.60 daripada 7.62/7.64. 

Bagaimanapun, ia melemah berbanding baht Thailand kepada 12.9599/9947 daripada 12.9507/9790.

-- BERNAMA