BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

CIIM Sambut Ulang Tahun Ke-20, Sasar Pertumbuhan Sektor Digital Dan Hijau

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM) menyambut ulang tahun ke-20 dengan memperbaharui komitmennya untuk memperkukuh hubungan industri antara India dan Malaysia yang membabitkan penekanan kepada teknologi digital, tenaga bersih, pembuatan pintar dan bioteknologi.

Berucap pada majlis gala baru-baru ini di sini, Pengerusi Pengasas CIIM Datuk Umang Sharma berkata perjalanan yang bermula pada April 2005 dengan sekumpulan kecil syarikat India kini telah berkembang menjadi platform kukuh yang mewakili lebih daripada 200 syarikat India yang beroperasi di Malaysia.

“Syarikat-syarikat ini telah melabur lebih US$3 bilion, mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan menjalin kerjasama jangka panjang yang terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

CIIM secara rasmi dilancarkan pada 9 Disember, 2005 oleh Menteri Perdagangan India ketika itu, Kamal Nath.

Sharma berkata idea penubuhan itu tercetus semasa satu mesyuarat di pejabat Ranbaxy Kuala Lumpur, dengan matlamat menyatukan perniagaan India dan memajukan perdagangan dua hala.

Beliau turut memuji agensi-agensi kerajaan Malaysia atas dasar mesra perniagaan dan pendekatan kerjasama mereka yang telah membantu industri India berkembang pesat di peringkat domestik.

Beliau juga mengiktiraf sokongan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur yang telah membimbing CIIM melalui misi perdagangan dan usaha pengembangan perniagaan di seluruh negeri di Malaysia.

Sharma berkata perdagangan dua hala telah berkembang dengan ketara, melebihi US$20 bilion setiap tahun, merangkumi sektor-sektor utama termasuk minyak sawit, petroleum, elektronik, farmaseutikal dan barangan kejuruteraan. Beliau juga memberitahu pelaburan Malaysia di India semakin meningkat, terutamanya dalam infrastruktur, tenaga solar dan penjagaan kesihatan.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata CIIM akan memberi tumpuan kepada membina sinergi yang selaras dengan agenda Ekonomi Madani Malaysia serta inisiatif ‘Make in India’ dan ‘Digital India’ dari India.

Sharma juga turut menggariskan tiga keutamaan strategik untuk CIIM — memperkukuh kerjasama dengan institusi-institusi Malaysia, memperkasakan PKS dan syarikat pemula niaga, serta menguatkan perakuan dasar untuk menyokong persekitaran pelaburan yang telus dan kondusif.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahunnya, CIIM akan menganjurkan kejohanan golf pada 15 Ogos sempena Hari Kemerdekaan India, diikuti dengan majlis makan malam gala. Satu sidang kemuncak perniagaan dua hala juga dirancang pada Disember, bertepatan dengan tarikh penubuhan CIIM.

“Dua puluh tahun merupakan satu pencapaian yang membanggakan, tetapi ia hanyalah permulaan bagi perjalanan yang lebih hebat. Marilah kita melangkah ke lembaran baharu ini dengan semangat yang lebih tinggi, kerjasama yang lebih mendalam dan komitmen yang diperbaharui untuk kecemerlangan,” kata Sharma.

-- BERNAMA