BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

PTP Catat Kendalian Kontena 1.27 Juta TEU Pada Mei, Tertinggi Dalam Tempoh Tiga Bulan

ISKANDAR PUTERI, 5 Jun (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan satu lagi pencapaian penting pada Mei apabila mengendalikan kontena berjumlah 1.27 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) iaitu pencapaian tertinggi baharu bagi bulan ketiga berturut-turut.

Pada Mac, PTP mencatatkan 1.18 juta TEU, diikuti 1.22 juta TEU pada April, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai salah satu hab pemindahan kontena terkemuka di Asia.

PTP merupakan usaha sama antara Kumpulan MMC Malaysia dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda.

Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata keupayaan untuk mengendalikan jumlah yang tinggi dengan lancar menunjukkan komitmen pelabuhan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan rakan strategik, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pencapaian terbaharu ini mengatasi rekod April kami sebanyak 53,000 TEU. Ini satu lonjakan yang luar biasa. Dengan momentum ini, kami menjangkakan pencapaian yang kukuh bagi tahun akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman berkata pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan pelabuhan untuk melepasi penanda aras prestasi, malah kekuatan hubungan strategik dengan pelanggan utama.

“Ia bukan sekadar membuktikan kemampuan kami untuk melangkaui had, malah mencerminkan kerjasama kukuh dan menjanjikan yang kami bina bersama setiap pelanggan kami, termasuk Kerjasama Gemini yang baru diwujudkan antara Maersk dan Hapag-Lloyd,” katanya.

Kerjasama Gemini ialah perkongsian strategik antara Maersk dan Hapag-Lloyd untuk mewujudkan rangkaian perkapalan bersama bagi laluan perdagangan Timur-Barat.

Beliau berkata menerusi Kerjasama Gemini PTP berperanan sebagai hab utama Asia yang memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan pakatan global itu.

Pertumbuhan jangka panjang PTP juga disokong oleh pelaburan yang strategik dalam penaiktarafan aset dan penambahbaikan infrastruktur, kata Hardiman.

“Perjalanan kami tidak mudah, tetapi cabaran yang dihadapi telah membentuk daya tahan dan semangat kami. Tahun ini, sempena ulang tahun ke-25 PTP, pencapaian rekod ini menjadi kenangan bermakna iaitu sejauh mana kami telah melangkah, dan potensi besar yang masih boleh dicapai bersama,” kata beliau.

-- BERNAMA