BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Eksport Kukuh

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, didorong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh dan harga minyak kacang soya yang lebih tinggi di Chicago Board of Trade (CBOT), kata peniaga minyak sawit David Ng.

Bagaimanapun, katanya, jangkaan peningkatan paras stok terus memberi tekanan kepada harga. 

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

 Sementara itu, ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani menganggarkan inventori minyak sawit Malaysia bagi bulan Mei meningkat kepada 1.997 juta tan metrik disokong peningkatan pengeluaran sebanyak 2.7, import 20 peratus dan eksport 19.75 peratus serta  penggunaan domestik yang stabil.

"Tinjauan Bloomberg juga menunjukkan stok akhir Mei berjumlah kira-kira 2.01 juta tan metrik. Data daripada Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran minyak sawit di kilang Semenanjung Selatan bagi Mei 2025 meningkat hanya 3.53 peratus berbanding April.

“Pasaran kini sedang menunggu unjuran pengeluaran penuh Mei daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan UOB Kay Hian,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat RM8 kepada RM3,946 setan metrik manakala Julai 2025 dan Oktober 2025 menambah RM18 masing-masing kepada RM3,965 setan metrik dan RM3,933 setan metrik.

Kontrak Ogos 2025 naik RM14 kepada RM3,948 setan metrik, September meningkat 2025 kepada  RM3,937 setan metrik dan November 2025 menokok RM16 kepada RM3,931 setan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 59,422 lot daripada 103,618 pada Selasa, manakala kepentingan terbuka turun kepada 245,345 kontrak daripada 336,143 sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Jun meningkat sebanyak RM20 kepada RM4,000 setan metrik.

-- BERNAMA