BERITA TERKINI   PH kesal tindakan 14 ADUN UMNO / BN Negeri Sembilan, sifatkan tidak hayati semangat Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api ditubuhkan bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara - Akmal Nasrullah | Peranan GLC dan GLIC bukan sekadar pertahan pulangan pelaburan, malah bantu perkukuh daya tahan ekonomi - Akmal Nasrulllah | Kerajaan tumpu pada sektor elektrik, industri pembinaan, pasaran buruh dan penilaian ekonomi jangka sederhana dalam mesyuarat MTEN minggu ini - Akmal Nasrullah | Pasaran ekuiti tempatan berdaya tahan dengan meningkat 1.5 peratus pada Jumaat lepas, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara - Akmal Nasrullah | 

Pulau Pinang Kekal Berdaya Tahan, Inovasi Di Tengah-Tengah Ketegangan Perdagangan Dunia

GEORGE TOWN, 3 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang menegaskan komitmennya terhadap daya tahan, inovasi dan mengekalkan daya saing global di tengah-tengah persekitaran perdagangan dunia yang kekal tegang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau semasa Majlis Makan Tengah Hari sempena Sesi Dialog Tahunan Cawangan Utara 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini, hari ini berkata Pulau Pinang kekal terbuka untuk perniagaan, inovasi dan kerjasama kerana negeri itu sentiasa menekankan daya tahan. 

“Daripada pelabuhan perdagangan yang berakar umbi hinggalah kepada kemunculan kami sebagai hab elektronik dan inovasi global, kami telah belajar untuk menyesuaikan diri apabila dunia berubah dan ketika ini ia tidak terkecuali. Ekonomi kami sangat bersepadu dalam rantaian bekalan global, sama ada dalam bidang semikonduktor, elektronik, alat ketepatan atau peranti perubatan.

“Jadi apabila kejutan berlaku, kesannya turut dirasai di Bayan Lepas dan Batu Kawan sama seperti di Shanghai (China) atau San Jose (California). Tetapi saya selalu berkata, kita mesti mencari hikmah di sebalik cabaran, tidak semuanya suram dan muram,” katanya.

Chow berkata syarikat-syarikat  multinasional kini menilai semula kehadiran mereka di peringkat serantau dan ramai yang ingin beralih ke ekosistem yang lebih stabil, cekap dan telus dari segi politik. Sehubungan itu katanya Pulau Pinang dengan infrastrukturnya yang kukuh, tenaga kerja mahir dan persekitaran mesra perniagaan merupakan pilihan semula jadi.

Beliau turut memuji usaha diplomatik proaktif Malaysia berikutan terdapat petunjuk bahawa tarif ke atas barangan Malaysia mungkin dihadkan kepada 10 peratus berbanding kadar setinggi 24 peratus atau lebih yang mewujudkan rasa bimbang disebabkan tindakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu.

"Seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ini merupakan satu perubahan yang positif dan sebahagiannya mencerminkan usaha diplomatik proaktif Malaysia.

“Saya memuji usaha Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana mengambil pendekatan yang terus dan tegas, termasuk menulis secara peribadi kepada Trump untuk mencadangkan Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN. Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja bertindak balas, tetapi turut memimpin dalam membentuk hasil perdagangan untuk rantau ini,” tambah beliau.

Majlis makan tengah hari itu juga dihadiri oleh Pengerusi MICCI Cawangan Utara Datuk Brian Tan Guan Hooi serta lebih 200 wakil daripada pelbagai industri dan sektor berkaitan.

-- BERNAMA