BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berrbanding Dolar AS

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, apabila kalangan peserta pasaran kekal berhati-hati menjelang pertemuan yang dijangka antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat sedikit kepada 4.2425/2485 berbanding dolar AS daripada 4.2530/2605 ketika ditutup pada Jumaat. 

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peserta pasaran kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Trump-Xi, yang dilihat berpotensi menjadi faktor utama risiko pasaran untuk sepanjang minggu ini.

“Memandangkan AS merupakan pengimport terbesar dunia dan China pula pengeksport utama global, hubungan antara kedua-dua negara ini boleh meningkatkan sentimen terhadap dolar, sekali gus meredakan kebimbangan mengenai gangguan rantaian bekalan dan inflasi import.

Keadaan ini menyebabkan mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit berada dalam kedudukan reaktif, iaitu berada di tengah-tengah pertikaian dua kuasa ekonomi besar ini, dengan keputusan perdagangannya banyak mempengaruhi trend harga global, katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.9695/9739 daripada 2.9531/9585 pada penutupan Jumaat, turun berbanding euro kepada 4.8415/8484 daripada 4.8169/8254, dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7337/7418 daripada 5.7284/7385 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu turut mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang serantau ASEAN.

Ia meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 260.1/260.6 berbanding 260.4/261.1 pada Jumaat dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.63 daripada 7.62/7.64 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2967/3016 daripada 3.2938/3002, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0334/0603 daripada 12.9507/9790 sebelum ini.

-- BERNAMA