BERITA TERKINI   16 jenis barangan dikawal harga, empat barangan ditambah dalam senarai bagi Sabah, Sarawak dan Labuan - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina ditetapkan selama sembilan hari dari 13 hingga 21 Februari - Armizan | Dua sindiket jenayah terancang di Johor tumpas, libatkan kerugian lebih RM4 juta - KPN | Operasi pembenihan awan Monsun Barat Daya diadakan mulai 11 hingga 15 Feb ini di Johor, Kedah dan Perak - Ahmad Zahid | Universiti Poly-Tech Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur disasar tersenarai dalam Bursa Malaysia tiga tahun akan datang - Ahmad Zahid | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar US

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US pada Selasa ketika pasaran menilai prospek dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2165/2490 berbanding dolar US daripada 4.2530/2605 pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ringgit disokong oleh dolar yang lebih lemah, didorong oleh ketegangan perdagangan AS-China dan kebimbangan mengenai tarif dan cukai baharu yang mungkin dilaksanakan daripada Washington.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.11 peratus kepada 98.60 mata daripada 99.00 ketika ditutup pada Jumaat, menyokong mata wang lain juga.

“Komen-komen daripada Beijing dan Washington menunjukkan kekecewaan terhadap komitmen perdagangan yang tidak dipenuhi.

"Sementara itu, ketidakpastian mengenai cadangan cukai Seksyen 899 dicadangkan oleh Trump dalam rang undang-undang diluluskan Dewan Perwakilan AS dan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka akan menurunkan kadar faedah terus menjejaskan dolar US," katanya kepada Bernama.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7134/7574 daripada 5.7284/7385 ketika ditutup pada Jumaat, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9567/9799 daripada 2.9531/9585 dan susut berbanding euro kepada 4.8270/8643 daripada 4.8169/8254 sebelum itu.

Dalam pada itu, ringgit melonjak berbanding peso Filipina kepada  7.57/7.63 daripada 7.62/7.64, namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2808/3066 daripada 3.2938/3002 pada penutupan Jumaat dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/261.5 daripada 260.4/261.1.

-- BERNAMA