BERITA TERKINI   Sebahagian aktivis yang diculik dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot, Israel - KP SNCC | Aktivis GSF 2.0 termasuk rakyat Malaysia yang ditahan di Pelabuhan Ashdod stabil - KP SNCC | SNCC kecam tindakan Itamar Ben Gvir lakukan kekerasan fizikal, tekanan mental dan ugutan terhadap aktivis - KP SNCC | Malaysia catat lebihan dagangan sebanyak RM91.92 bilion bagi tempoh Januari-April 2026 - MATRADE | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion pada Januari-April 2026, eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion, import naik 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion - MATRADE | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Berdepan Dagangan Tidak Menentu Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives berkemungkinan meneruskan prestasi pasaran tunai asas, yang dijangka mengalami dagangan tidak menentu minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang berterusan.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia dijangka berdepan minggu dagangan empat hari yang disingkatkan minggu depan berikutan cuti hujung minggu yang dilanjutkan, yang mungkin mendorong aktiviti dagangan lebih ringan dan naik turun pasaran yang meningkat.

Justeru, beliau menasihatkan pelabur supaya terus berwaspada, mengekalkan kepelbagaian portfolio dan bersedia untuk tempoh turun naik kerana ketidaktentuan terus mempengaruhi dinamik pasaran. 

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 2 Jun, 2025 bersempena dengan cuti umum Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan menyambung semula operasi pada Selasa, 3 Jun, 2025.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2025 susut 18.0 mata kepada 1,515.5, Jun 2025 turun 37 mata kepada 1,496.0, September 2025 merosot 39.0 mata kepada 1,479.0, dan Disember 2025 berkurang 41.5 mata kepada 1,483.5.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 152,899 lot daripada 33,633 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 50,960 kontrak daripada 42,759 kontrak sebelumnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 27.03 mata kepada 1,508.35 daripada 1,535.38 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA