BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini, didorong oleh jualan di kaunter wajaran tinggi utiliti, produk pengguna dan perkhidmatan berikutan sentimen berhati-hati yang berpanjangan berkaitan tarif perdagangan global.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.30 mata atau 0.08 peratus kepada 1,517.68 daripada 1,518.98 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.24 mata kepada 1,521.22, turun naik antara 1,513.42 dan 1,522.06 sepanjang sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 559 berbanding 258 manakala 363 kaunter tidak berubah, 1,214 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion unit bernilai RM1.27 bilion.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, sentimen kekal tidak stabil berikutan aliran keluar asing yang berterusan, tekanan terhadap prestasi pendapatan dan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Sentimen berhati-hati turut dipengaruhi oleh kebimbangan baharu mengenai kemungkinan kelembapan global yang didorong oleh tarif serta pertikaian undang-undang yang berterusan berkaitan dasar perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang boleh menjejaskan keyakinan pasaran dan memberi tekanan terhadap prospek pertumbuhan dan pendapatan Malaysia,” katanya.

Dilaporkan pengekalan tarif Trump, yang diputuskan oleh mahkamah rayuan AS, berkemungkinan akan dicabar di Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan asal mahkamah persekutuan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot tiga sen kepada RM9.84, Tenaga berkurangan lapan sen kepada RM14.00 manakala IHH Healthcare mendatar pada RM6.91.

Public Bank naik satu sen kepada RM4.32 dan CIMB meningkat lima sen kepada RM6.93.

Dalam dagangan aktif, Eco Shop dan Nationgate, masing-masing naik enam sen kepada RM1.25 dan RM1.50. KPJ Healthcare merosot 21 sen kepada RM2.75, Tanco berkurangan satu sen kepada RM1.03 dan Cape EMS susut dua sen kepada 21.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 35.92 mata kepada 11,346.41, Indeks FBMT 100 merosot 32.18 mata kepada 11,109.83 dan Indeks FBM ACE menurun 41.40 mata kepada 4,550.76.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 55.84 mata kepada 11,309.99 manakala Indeks FBM 70 merosot 136.93 mata kepada 16,195.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 13.42 mata kepada 17,906.99, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.51 mata kepada 152.51, Indeks Tenaga berkurangan 3.09 mata kepada 705.09 dan Indeks Perladangan jatuh 11.54 mata kepada 7,282.41.

-- BERNAMA