Bursa Malaysia, Fullgoal HK, CGS MY Meterai MoU Bagi Mudahkan Penyenaraian ETF Asing
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd, Fullgoal Asset Management (HK) Ltd (Fullgoal HK) dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan penyenaraian dana dagangan bursa (ETF) asing di Bursa Malaysia.
Ini akan memberikan pelabur Malaysia akses kepada lebih banyak rangkaian pilihan pelaburan, sambil menawarkan pendedahan kepada pasaran global, katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed, CEO Fullgoal HK Zhang Lixin dan CEO Kumpulan CGS International Securities Carol Fong semasa Forum Perniagaan ASEAN 2025 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“MoU ini mencerminkan komitmen bersama antara Bursa Malaysia, Fullgoal HK dan CGS MY untuk mengukuhkan kerjasama dalam menggalakkan ketersambungan pasaran modal antara China dan Malaysia, memperkayakan penawaran produk rentas sempadan dan meningkatkan keupayaan pembangunan rentas sempadan dalam industri pengurusan aset,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia akan terus memperkukuh ekosistem ETF tempatan melalui beberapa siri inisiatif yang berstruktur dan strategik, termasuk penekanan kepada pembangunan ekosistem dan penglibatan pihak berkepentingan, serta cabaran ETF yang direka untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik pelabur-pelabur runcit.
“Pada masa ini, Bursa Malaysia menawarkan peluang pelaburan melalui 17 ETF yang diuruskan oleh enam penerbit, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kira-kira RM2.4 bilion,” katanya.
Fad’l berkata kerjasama itu menandakan satu langkah penting dalam memperluas landskap ETF Malaysia, dengan menawarkan pelabur lebih banyak kepelbagaian dan akses kepada peluang di peringkat global.
“Bersama-sama dengan Fullgoal HK dan CGS International, kami komited untuk memperdalam kecanggihan pasaran dan memacu pertumbuhan mampan dalam pasaran modal kami. Inisiatif ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai pintu masuk pelaburan yang menghubungkan Malaysia dengan pasaran kewangan global,” katanya.
Pengerusi Fullgoal HK yang juga CEO Fullgoal Fund Chen Ge berkata hubungan maritim yang kukuh antara China dan Malaysia berakar umbi daripada persahabatan yang telah lama terjalin.
“Sejajar dengan peluang ini, Fullgoal Fund komited kepada strategi ‘going global’ kami. Dengan memanfaatkan kepakaran penyelidikan kami dalam ekuiti, pendapatan tetap dan pelaburan kuantitatif, kami sedang meningkatkan keupayaan pengagihan aset global dan meneroka peluang pelaburan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Carol Fong berkata CGS International berbesar hati untuk membawa kepakaran dalam pengurusan pelaburan, penyelidikan dan pengedaran untuk memudahkan penyenaraian silang ETF di Bursa Malaysia dengan Fullgoal HK.
“Dalam dua tahun lalu, kami telah bekerjasama dengan Fullgoal HK dalam dua ETF di Singapura, yang menawarkan peluang unik kepada pelabur tempatan untuk melabur dalam pasaran dan sektor yang sukar diakses.
“Kami teruja untuk membawa lebih banyak ETF kepada pelabur-pelabur Malaysia, memenuhi matlamat kami untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh orang ramai,” katanya.
-- BERNAMA