BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

AmanahRaya REIT Beli Hartanah Perindustrian Bernilai RM30 Juta Perkukuh Portfolio Aset

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (ARREIT) membeli kilang berkembar satu tingkat di Teluk Panglima Garang, Selangor, dengan harga RM30 juta daripada Alpha Express Sdn Bhd untuk memperkukuh lagi portfolio aset perindustriannya.

Pengurus ARREIT, AmanahRaya Kenedix REIT Manager Sdn Bhd (AKRM) berkata bagi janji niaga itu ARREIT memeterai dua perjanjian dengan Alpha Express di bawah perjanjian jual dan pajakan balik untuk tempoh 10 tahun.

Pengarah Urusan AKRM Mohd Iskandar Dzulkarnain berkata berkata pembelian itu sejajar dengan strategi ARREIT untuk mengukuhkan portfolio aset industrinya dengan hartanah menjana pendapatan yang dijamin di bawah pajakan jangka panjang.

“Pembelian aset itu memberi manfaat kepada ARREIT dari segi pertambahan portfolio sedia ada, yang sebelum ini hanya mempunyai satu aset dalam industri berkenaan. Ini merupakan aset kedua dalam industri yang sama, dan ia membolehkan kami mengembangkan lagi sub-portfolio dalam kategori industri aset.

“Secara amnya, kerjasama ini membantu pemain industri yang memenuhi keperluan kami untuk mengembangkan perniagaan mereka dan pada masa sama, mereka dapat melepaskan aset yang dirasakan berpotensi kepada ARREIT, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya kepada Bernama pada majlis permeteraian perjanjian itu sempena program ARREIT Connect 2025, di sini, hari ini. 

ARREIT Connect 2025 yang dianjurkan oleh AKRM itu merupakan platform untuk mengukuhkan perkongsian strategik yang menghimpunkan pemegang kepentingan utamanya termasuk Amanah Raya Bhd, Universiti HELP, Kolej Universiti Alfa, Knight Frank, Anytime Fitness dan IMT Tech.

Sementara itu Iskandar berkata jumlah aset di bawah pengurusan AKRM kini berjumlah RM1.3 billion.

"Kita akan kembali kepada fokus utama syarikat iaitu dalam industri aset yang melibatkan sektor kesihatan dan kesejahteraan, serta aset pendidikan. Ini merupakan fokus utama ARREIT dalam usaha mengembangkan portfolio aset sedia ada.

“Pertumbuhan ini tidak terhenti di sini sahaja, malah dijangka terus berkembang secara konsisten dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu ARREIT berkata semua resolusi telah diluluskan dengan kelulusan sebulat suara pemegang saham pada mesyuarat agung tahunannya

“Mesyuarat itu menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap hala tuju dan tadbir urus ARREIT, terutamanya apabila kami memulakan strategi pengurusan portfolio yang lebih dinamik yang tertumpu pada struktur pajakan bersih tiga kali ganda, pelaburan yang selaras dengan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta kepelbagaian pasaran,” kata ARREIT menerusi satu kenyataan.

-- BERNAMA