BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

ASM Automation Sasar Kumpul RM21.82 Juta Melalui IPO

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pakar penyelesaian jentera automasi, ASM Automation Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Bhd menjelang 2 Julai ini, berhasrat untuk mengumpulkan RM 21.82 juta melalui tawaran awam permulaannya (IPO).

ASM Automation melalui satu kenyataan hari ini berkata IPO tersebut melibatkan terbitan awam sejumlah 128.34 juta saham baharu, yang mewakili 24 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesar iaitu sebanyak 534.77 juta saham.

Katanya, akan ada tawaran untuk jualan sebanyak 53.48 juta saham sedia ada, bersamaan dengan 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.

"Saham-saham IPO akan dikeluarkan pada harga IPO sebanyak RM0.17 sesaham.

 ASM Automation berkata RM11.40 juta akan digunakan untuk pembinaan kilang baharu, RM2.30 juta untuk pembelian jentera dan pengambilalihan peralatan serta komponen bagi jentera demonstrasi untuk menyokong pertumbuhan operasi dan penglibatan pelanggan.

"RM2 juta untuk aktiviti reka bentuk serta pembangunan dalam meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, RM1.92 juta sebagai modal kerja untuk menyokong operasi sehari-hari dan RM4.2 juta bagi perbelanjaan penyenaraian," katanya.

Pengarah Urusan, Chan Kok Heng berkata hasil IPO akan memacu fasa seterusnya pengembangan strategik syarikat.

Beliau berkata IPO itu bukan sahaja akan menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk pelan pengembangannya tetapi akan melonjakkan keterlihatan serta kredibilitinya sebagai penyedia penyelesaian jentera automasi yang disenaraikan umum.

"Ini akan membolehkan kami mengembangkan kapasiti pemasangan serta pengeluaran kami dengan ketara, meningkatkan integrasi aliran kerja selain memenuhi projek-projek besar dan kompleks," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

M&A Securities adalah penasihat utama IPO, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, sementara Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat kewangan.

-- BERNAMA