BERITA TERKINI   Penyanyi veteran era 80-an Zaleha Hamid meninggal dunia 8.30 malam ini pada usia 70 tahun | 

Forum IMF Bincang Cara Tangani Cabaran Kenaikan Kos Pinjaman Dan Pembiayaan Semula Hutang

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Forum Pengurusan Hutang Awam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ke-20 mengkaji dan membincangkan bagaimana kerajaan boleh menangani dengan lebih baik lagi cabaran peningkatan tekanan kos pinjaman dan pembiayaan semula hutang.  

Forum itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan IMF pada 27-28 Mei.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan berkata fokus utama adalah untuk menambah baik kecairan pasaran bon kerajaan bagi memastikan pelabur kekal yakin walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Para peserta juga membincangkan tentang peranan kewangan Islam yang semakin meningkat dalam strategi peminjaman kerajaan, menawarkan peluang baharu bagi negara yang ingin mempelbagaikan sumber pembiayaan," katanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerusi ucap tamanya menekankan kepentingan kerjasama global untuk membentuk strategi hutang yang berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan kerentanan hutang dan perubahaan jangkaan pelabur.

"Jelas sekali masa depan kemampanan hutang sudah tidak boleh bergantung kepada usaha negara sahaja. Kita mesti mengukuhkan kerjasama rentas sempadan, memperdalam perkongsian institusi, dan memupuk pertukaran pengetahuan untuk membina daya tahan dan mengukuhkan keyakinan pelabur," katanya.

Forum dua hari itu yang bertemakan ‘Mengurus Hutang Awam Di Tengah-tengah Pasaran Modal yang Berkembang’ telah mengumpulkan kira-kira 200 pegawai kanan kerajaan, pengurus hutang awam dan pakar pasaran kewangan dari 37 negara sedang pesat membangun dan maju untuk terlibat dalam perbincangan kritikal yang membentuk masa depan pengurusan hutang.

Forum ini membincangkan cabaran dan peluang yang muncul dalam risiko pembiayaan, mengharungi ketidaktentuan pasaran, kewangan Islam, pendigitalan dalam pasaran bon kerajaan dan peranan peniaga utama serta penggerak pasaran.

Selain itu, kaunselor kewangan dan pengarah jabatan monetari dan pasaran modal IMF Tobias Adrian turut membincangkan mengenai risiko terhadap kestabilan kewangan global dan penekanan tentang kepentingan ketelusan hutang.

Sementara itu menerusi ucapan penutupnya, gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata di ASEAN, Malaysia bersama-sama rakan serantaunya bekerjasama rapat untuk menyokong pengurusan hutang kerajaan yang berhemat dengan memupuk kerjasama serantau, pembiayaan infrastruktur yang mampan dan pasaran kewangan yang berdaya tahan.

“Sebagai contoh, usaha sedang dibuat untuk memudahkan integrasi pasaran ekonomi dan hutang serantau di bawah rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya.

Forum itu juga berkongsi pengalaman dengan pendigitalan dalam kewangan awam, khususnya peranan teknologi seperti bon bertoken untuk memodenkan cara kerajaan menerbitkan dan mengurus hutang.

Pakar-pakar juga menekankan kepentingan pembiayaan hijau dan mampan untuk membantu negara membiayai pembangunan jangka panjang.

Forum itu juga merangkumi topik mengenai rangka kerja peniaga utama yang tersusun dengan baik untuk memastikan kedalaman pasaran dan keyakinan pelabur.

Sesi terakhir menyemak semula Garis Panduan Pengurusan Hutang Awam IMF dan Bank Dunia 2014, menilai kaitannya dalam menghadapi cabaran baharu dan bidang berpotensi untuk evolusi selanjutnya.

--BERNAMA