BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Microsoft Lancar Rantau Awan Pertama Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Microsoft telah mengumumkan ketersediaan umum Rantau Awan Barat (West Cloud) Malaysia yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada pelaburan US$2.2 bilion di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif Awan dan Kecerdasan Buatan (AI) Microsoft Scott Guthrie berkata rantau awan baharu, terletak di Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur) akan menyediakan infrastruktur pusat data AI bertaraf dunia dan membolehkan organisasi mempercepatkan inovasi dengan selamat – menyokong masa depan yang inklusif, mampan dan sedia AI.

"Kami menyediakan asas digital yang kritikal untuk Malaysia menjadi hab AI serantau, membolehkan inovasi selamat dan hiperskala, sejajar dengan matlamat negara.

"Rantau awan baharu ini akan menampilkan tiga zon ketersediaan untuk ketersediaan tinggi dan ‘geo-redundancy’ serta menyediakan ‘in-country data residency’ (menyimpan dan memproses data dalam lokasi tertentu) dengan mematuhi rangka kerja kawal selia tempatan dan antarabangsa," katanya semasa menyampaikan ucaptama di Microsoft AI Tour, di sini hari ini.

Geo-redundancy bermaksud mempunyai berbilang pusat data atau lokasi pelayan yang berjauhan secara geografi antara satu sama lain, mengekalkan data sama dan boleh mengambil alih fungsi lokasi utama dengan lancar jika ia gagal berfungsi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam ucapan yang dirakam berkata Rantau Awan Barat Malaysia itu memberi peluang kepada negara untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dengan memanfaatkan teknologi digital dan AI yang canggih.

"Bersama-sama...menerusi pendekatan whole-of-nation (keseluruhan negara), marilah kita merebut peluang ini untuk melonjak ke hadapan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan AI," katanya.

Sementara itu, Microsoft dalam satu kenyataan berkata rantau baharu itu juga akan memberikan pelanggan akses kepada perkhidmatan lanjutan dalam produktiviti, analitis data, keselamatan siber, pengkomputeran dan storan.

Ia termasuk Microsoft Azure dan Microsoft 365 dan suite aplikasi perniagaan Microsoft yang akan tersedia tidak lama lagi.

-- BERNAMA