BERITA TERKINI   Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | Ketua jabatan dibenar pertimbang permohonan bekerja dari rumah bagi pegawai terkesan kesesakan trafik semasa Sidang Kemuncak ASEAN - JPA | Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka menerima jumlah pengunjung yang mencatat rekod sebanyak 3.51 juta, jauh melebihi sasaran 1.5 juta orang - Ketua Setiausaha MITI | Kepimpinan di semua peringkat mesti dengar, bertindak atas keperluan rakyat - PM Anwar | Belanjawan 2026: Rakyat nikmati banyak manfaat tanpa kenaikan cukai hasil tatakelola baik, pengurangan ketirisan - PM Anwar | 

Sarawak Belanja RM27.7 Bilion Laksanakan 1,387 Projek Di Bawah RMK-12

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM27.7 bilion bagi melaksanakan 1,387 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak berkata jumlah itu mewakili 69 peratus daripada peruntukan RM37.98 bilion manakala projek yang dilaksanakan merangkumi masing-masing 987 projek fizikal dan 400 bukan fizikal yang melibatkan geran, sumbangan, pelaburan, program serta acara.

“Sebanyak 303 atau 31 peratus daripada 987 projek fizikal telah siap manakala 684 projek sedang dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menyentuh projek transformasi luar bandar (RTP), Douglas berkata sebanyak 13,366 projek bernilai RM2.06 bilion telah diluluskan dengan 56 peratus telah siap.

Selain itu, Projek Rakyat dengan peruntukan RM3.16 bilion untuk Sarawak pula menyaksikan 351 daripada 735 projek berjaya disiapkan.

Beliau berkata Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMK-12 dengan 86 peratus daripadanya telah dibelanjakan setakat akhir 2024.

“Di bawah RP5, sebanyak RM4.3 bilion diperuntukkan bagi 1,174 projek dengan 18 peratus daripadanya telah siap setakat ini,” katanya.

-- BERNAMA