Keuntungan Bersih Suku Ketiga IOI Corp Melonjak Kepada RM262.3 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd, untuk suku ketiga berakhir pada 31 Mac 2025 melonjak sebanyak 113 peratus kepada RM262.30 juta berbanding RM123.10 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.
Kenaikan dalam keuntungan ini dipacu oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen perladangan tetapi sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembuatan berasaskan sumber.
Pendapatan meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM2.73 bilion berbanding RM2.46 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata pemain minyak sawit bersepadu dan lestari global yang terkemuka itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Keuntungan suku sebelum cukai (PBT) segmen perladangan mencecah paras RM310.6 juta adalah 27 peratus lebih baik daripada PBT suku ketiga sebelum ini iaitu pada paras RM244.9 juta, disebabkan oleh peningkatan dalam harga minyak sawit mentah (MSM) serta harga realisasi kernel sawit termasuk keputusan yang memuaskan daripada sekutunya tetapi ini, sebahagiannya telah diimbangi oleh paras inventori MSM yang agak tinggi, pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan kadar pengekstrakan minyak yang lebih rendah.
"Keuntungan dalam segmen pembuatan berasaskan sumber pada suku yang dikaji semula adalah RM71.1 juta berbanding keuntungan dalam suku ketiga sebelum ini iaitu sebanyak RM44.4 juta, dipacu oleh pengurangan sumbangan daripada subsegmen oleokimia dengan jumlah jualan dan keputusan yang lebih rendah daripada syarikat sekutu tetapi telah diimbangi melalui lonjakan sumbangan daripada subsegmen penapisan yang mencatatkan margin yang agak memuaskan," kata IOI Corp.
Untuk tempoh sembilan bulan kumulatif, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih positif sebanyak RM1.08 bilion berbanding RM762.50 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama setahun sebelum ini, manakala, pendapatan meningkat kepada RM8.37 bilion daripada RM7.06 bilion.
IOI Corp mengunjurkan harga MSM akan berlegar antara RM3,700 hingga RM4,000 satu tan untuk sepanjang tahun kewangannya yang berakhir pada 30 Jun 2025.
Untuk segmen perladangan, pengeluaran FFB dalam suku keempat tahun kewangan 2025 dijangka akan pulih dengan ketara berbanding suku ketiga tahun kewangan 2025 dan menjangkakan bahawa pengeluaran FFB yang lebih tinggi ini akan membantu mengekalkan prestasi kewangan yang mantap, walaupun ia menjangkakan harga MSM menyusut menjelang suku keempat tahun kewangan 2025.
"Secara keseluruhan, kumpulan itu menjangkakan prestasi operasi dan kewangannya untuk suku keempat akan lebih memuaskan," katanya lagi.
-- BERNAMA