BERITA TERKINI   Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | 

TDA Naik Taraf MyCIEDS Bagi Perkukuh Urusan Import Eksport JKDM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Technology Depository Agency Bhd (TDA) telah menaik taraf Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia (MyCIEDS) kepada sistem digital bersepadu.

Sistem itu direka bentuk untuk mengukuhkan pengurusan dokumen sokongan import dan eksport bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). 

TDA iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan berkata Sistem Dokumen Sokongan untuk Import dan Eksport Malaysia atau MyCIEDS dibangunkan semula dengan teknologi terkini oleh Edaran IT Services Sdn Bhd di bawah program kerjasama industri (ICP) dan akan dilancarkan di seluruh negara.

Katanya, sistem itu dibina dengan teknologi Sistem Pengurusan Dokumen dan disepadukan dengan Sistem Maklumat Kastam.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA Sharoul Jambari berkata ICP bukan hanya memenuhi keperluan perolehan tetapi juga bertindak sebagai pemangkin pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada negara.

“Menerusi pendekatan ini, kita boleh memastikan kesan berpanjangan kepada ekonomi dan ekosistem industri tempatan.

“Sistem ini dijangka memberi manfaat kepada zon operasi JKDM di seluruh negara dan memberi kesan positif kepada kelancaran rantaian perdagangan serta daya saing ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

MyCIEDS direka untuk memodenkan pengurusan digital dokumen sokongan import dan eksport, menyelaras pemantauan, penyimpanan dan capaian kepada dokumen berkaitan oleh JKDM, menyokong agenda kerajaan menerusi teknologi tempatan, serta mengukuhkan operasi kastam bagi mempercepatkan proses pelepasan barang.

Sehingga kini, TDA telah berjaya melaksanakan 142 program ICP di bawah perolehan kerajaan.

-- BERNAMA