BERITA TERKINI   MPI: Wartawan Bernama TV Shahrul Aini, Wan Syahrina menang Perak bagi kategori Bicarawara Video Terbaik | Bernama rangkul Perak bagi katergori Kewartawanan ESG terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | Jurugambar Bernama Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak menang perak kategori Kewartawanan Foto Terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas. | Jurugambar Bernama Mohd Safwan Mansor menang emas untuk kategori foto esei terbaik pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas | MPI: Wartawan Harian Metro menang Hadiah Kajai | 

Kepimpinan Malaysia Di Bawah Anwar Ibrahim Perkukuh Kerjasama ASEAN - Nazir Razak

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghasilkan kekuatan unik dalam membawa pemimpin ASEAN bersama-sama untuk membincangkan dan menangani isu serantau secara kolaboratif.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Tan Sri Nazir Razak berkata dalam persekitaran perubahan besar pemimpin di seluruh ASEAN, Anwar nampaknya mempunyai hubungan erat dengan mereka.

“Beliau (Anwar) dilihat seorang yang sangat rapat dengan semua (pemimpin-pemimpin dari negara anggota ASEAN) dan kami melihat kepada keupayaan unik itu untuk menyatukan mereka supaya kami dapat memuktamadkan beberapa keputusan penting seperti mengurangkan halangan bukan tarif, pemerkasaan yang lebih besar kepada Sekretariat ASEAN dan perubahan dasar.

“Ia boleh dilakukan, tetapi anda memerlukan pemimpin, dan kadangkala mereka perlu membelanjakan modal politik itu untuk menyelesaikan sesuatu,” katanya pada sidang media pembuka tirai Forum Perniagaan ASEAN 2025 di sini hari ini.

Nazir berkata beliau optimis mengenai ASEAN sekarang, memandangkan rantau itu kini mempunyai momentum baharu.

Beliau berkata persekitaran luaran telah memberi lebih dorongan, justeru pengerusi ASEAN dijangka menghasilkan banyak hasil positif.

Sementara itu, menurut kenyataan bersama penganjur, Forum Perniagaan ASEAN 2025 anjuran CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama MBSB Bhd dan Kumpulan OCBC akan diadakan di Hotel St Regis pada 29 Mei depan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 2025 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025.

Dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ASEAN-BAC Malaysia, forum itu dijangka menarik lebih 500 hadirin, terdiri daripada lebih 200 korporat asing dan tempatan, penggubal dasar dan para pemimpin korporat mewakili syarikat terbesar di rantau ini dengan permodalan pasaran lebih RM1 trilion.

“Sorotan utama forum itu ialah sesi libat urus korporat dan pertukaran perniagaan yang direka untuk memacu kerjasama perniagaan sebenar antara pihak padanan yang telah disaring dan dipilih daripada 25 syarikat dan pelabur teratas di seluruh ASEAN dan China.

“Ia juga akan menampilkan lebih daripada 20 penceramah dan ahli panel untuk perbincangan serta diadakan mesyuarat tertutup antara pelabur dan penggubal dasar, semuanya tertumpu pada menangani cabaran dan memangkin peluang untuk tawaran bernilai tinggi serta perkongsian strategik untuk pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

-- BERNAMA