BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Petronas Gas Unjur Impak Keuntungan RM60 Juta Pada Tahun Kewangan 2025 Susulan Kebakaran Di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) pada masa ini dianggarkan mengalami jumlah impak keuntungan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan 2025.

Syarikat penghantaran gas asli itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata jumlah berkenaan merangkumi kos pembaikan dan kehilangan perolehan yang berpunca daripada insiden kebakaran saluran paip utama PGB berhampiran Putra Heights di Puchong, Selangor pada 1 April 2025.

PGB berkata kehilangan perolehan akibat gangguan perkhidmatan dijangkakan minimum kira-kira RM20 juta berikutan kerjasama proaktif antara PGB, pihak berkuasa, penghantar gas, dan pengedar dalam usaha pantas untuk memulihkan perkhidmatan saluran paip dan menstabilkan bekalan.

Menurut kumpulan impak kewangan daripada kerja-kerja pembaikan dan pemulihan aset dianggarkan kira-kira RM170 juta, tertakluk kepada dapatan akhir penyiasatan, dan berdasarkan keadaan tapak semasa dan tahap kerosakan aset.

"Sebahagian besar daripada jumlah ini dijangka dipermodalkan di bawah perbelanjaan modal syarikat, dengan sebahagian pemulihan dijangkakan melalui tuntutan insurans," katanya.

PGB berkata ia akan terus bekerjasama rapat dan telus dengan pihak berkuasa bagi menentukan punca sebenar kejadian dan mengenal pasti faktor penyumbang.

Satu pasukan petugas bebas turut ditubuhkan bagi menyediakan pengawasan strategik terhadap siasatan selepas kejadian, aktiviti pemulihan dan pemulihan aset, keselamatan infrastruktur penghantaran gas serta perkara lain yang berkaitan.

-- BERNAMA