Asia Digital Engineering Terima Pensijilan Penyelenggaraan Dan Pembaikan Dari FAA, EASA
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE), unit penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Capital A Bhd dianugerahkan pensijilan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).
Dalam satu kenyataan hari ini, ADE berkata syarikatnya menerima Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan (EASA.145.0967) daripada EASA dan Sijil Stesen Pembaikan (ADNY458E) daripada FAA.
Menurut ADE pensijilan berganda ini yang dianggap sebagai lambang kualiti dan keselamatan dalam industri penerbangan, menjadi bukti kemunculan ADE sebagai penyedia penyelenggaraan pesawat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, katanya, syarikat juga mempunyai pelbagai pensijilan selain menegaskan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab penerbangan di rantau ASEAN.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut menggambarkan pencapaian tersebut sebagai satu lonjakan ke hadapan bukan sahaja untuk ADE tetapi juga bagi sektor aeroangkasa negara.
“Pencapaian bersejarah ini mengukuhkan lagi keupayaan negara kita untuk memenuhi dan melebihi piawaian antarabangsa selain meletakkan Malaysia sebagai hab global yang semakin meningkat bagi penyelenggaraan pesawat yang berkualiti tinggi serta boleh dipercayai,” katanya.
Ditubuhkan pada 2020, ADE membina reputasi kukuh dalam menyediakan perkhidmatan MRO yang berorientasikan nilai dan berasaskan digital dengan menyelesaikan lebih daripada 180 pemeriksaan penyelenggaraan asas dalam tempoh kurang daripada empat tahun.
Pada masa ini, syarikat itu mendapat kelulusan di beberapa negara ASEAN dan Asia Selatan termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Nepal, Thailand dan Myanmar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Mahesh Kumar berkata pensijilan tersebut merupakan satu langkah besar dalam strategi pertumbuhan global syarikat.
“Walaupun kami kekal sebagai penyedia MRO utama untuk AirAsia, kami kini menyediakan portfolio syarikat penerbangan yang semakin berkembang di seluruh rantau dan seterusnya.
“Pensijilan ini mengesahkan keupayaan kami untuk menyediakan penyelenggaraan bertaraf dunia yang selamat dan berkualiti tinggi pada skala global,” katanya.
Syarikat itu baru-baru ini melancarkan sebuah hangar MRO dengan 14 laluan sepanjang 35,303.1552 meter persegi dalam Zon Sokongan Aeronautik KLIA 1, yang terbesar dan paling canggih di Malaysia.
Sebuah bengkel dan pusat latihan baharu, ADE RedChain 2 juga dijadualkan dilancarkan pada suku ketiga 2025.
Sementara itu, CEO Capital A, Tony Fernandes berkata pensijilan berganda itu merupakan bukti kecemerlangan tempatan.
“Ini bukan sahaja kemenangan untuk ADE sebaliknya merupakan kemenangan untuk Malaysia dan industri penerbangan ASEAN. Ia sekali gus menunjukkan bakat kita mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia,” katanya.
-- BERNAMA