BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Institusi Tempatan Kembali Raih Aliran Masuk Bersih RM222.9 Juta Minggu Lepas - MIDF

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Institusi tempatan menamatkan jualan berterusan selama empat minggu di Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih berjumlah RM222.9 juta minggu lepas, menjadikan belian bersih setakat ini pada tahun ini kepada RM7.9 bilion.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam laporan aliran dana mingguan bagi minggu berakhir 23 Mei 2025 berkata peruncit tempatan turut menamatkan trend aliran keluar selama lima minggu dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM169.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan meluas pada minggu lepas,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu pelabur asing telah mengubah posisi kepada jualan bersih selepas  pembelian berterusan selama empat minggu yang menyaksikan aliran masuk terkumpul berjumlah RM3.29 bilion.

"Minggu berkenaan berakhir dengan aliran keluar bersih asing sebanyak RM392.3 juta, menjadikan jumlah aliran keluar bersih asing setakat ini pada tahun ini kepada RM9.8 bilion.

“Empat minggu lepas menjadikan satu-satunya tempoh aliran masuk asing bagi tahun ini. Pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan dengan aliran keluar antara RM0.9 juta hingga RM207.7 juta," katanya.

Menurutnya aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis sebanyak RM207.7 juta, diikuti RM80.5 juta pada Selasa. 

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi adalah utiliti (RM56.5 juta), pembinaan (RM54.4 juta), dan telekomunikasi dan media (RM48.1 juta).

"Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM240.9 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM139.1 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM86.2 juta)," katanya.

-- BERNAMA