Sabah Sasar Capai Pertumbuhan Mampan, Jadi Pemain Utama Ekonomi Dan Perdagangan
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Di tengah-tengah peralihan ekonomi global, Sabah melangkah kehadapan dengan langkah-langkah strategik bagi meletakkan negeri itu bukan sahaja sebagai pemain serantau, tetapi juga kuasa utama dalam perdagangan dunia.
Berbekalkan visi ekonomi yang jelas ditambah dengan sumber yang besar serta inovasi dasar, negeri itu berhasrat mengukir identiti tersendiri yang menggabungkan ciri-ciri perindustrian dengan usaha pemeliharaan alam sekitar.
Negeri dengan Prospek Memberangsangkan
Sabah, negeri di bawah bayu yang terletak di utara Borneo itu memiliki limpahan aset geografi dan juga ekonomi, selain disokong oleh kedudukan strategiknya dalam ASEAN, rantau yang diunjur menjadi blok keempat terbesar di dunia serta memiliki rantaian bekalan yang sedang pesat membangun.
Kekayaan semula jadi Sabah mengukuhkan kelebihan strategiknya. Negeri itu memiliki satu pertiga daripada rizab minyak Malaysia, dan 49 peratus daripada eksport minyak sawit mentah negara disumbang oleh Sabah, sekali gus menjadikan ia penyumbang utama kepada sektor tersebut dengan anggaran 10 peratus daripada bahagian pasaran bekalan minyak sawit global.
Malahan sektor marinnya turut memberi sumbangan yang besar kepada hasil negeri.
"Kami adalah salah satu negeri yang mana tahap sara diri kami dalam sumber laut, khususnya perikanan, adalah lebih daripada 100 peratus. Itu sesuatu yang sangat kami banggakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Bhd Dr Firdausi Suffian.
Pempelbagaian Menerusi Perindustrian
Walaupun kekayaan sumber adalah asas utama, strategi Sabah yang berpandangan ke hadapan menekankan kepada pempelbagaian ekonomi.
Di bawah rancangan Sabah Maju Jaya (SMJ), negeri itu menyasar untuk mengembangkan industri hiliran dan meningkatkan keupayaan pembuatannya.
"Pada 2023, Sabah mencatatkan kadar pertumbuhan pembuatan 4.4 peratus, tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia. Ini mencerminkan komitmen kami untuk mengembangkan industri pembuatan," kata Firdausi.
Jumlah pelaburan negeri yang diluluskan dalam tempoh lima tahun lepas berjumlah RM56.43 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur dan dasar industri yang proaktif.
Tiga taman perindustrian baharu di Kota Belud, Kudat dan Beaufort sedang dibangunkan untuk mengembangkan lagi kapasiti ini.
Inovasi Dasar: Biojisim, Ekonomi Biru dan Pelan Induk Tenaga
Sabah juga mencatatkan kemajuan dalam pertumbuhan hijau. Pada 2024, ia menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan Dasar Biojisim, memanfaatkan sisa minyak sawitnya untuk menyokong inisiatif tenaga boleh baharu (TBB).
"Kami memperkenalkan dasar itu kerana kami mempunyai hampir satu pertiga daripada jumlah biojisim Malaysia. Jadi, penting untuk mengawal selianya bagi memastikan kami mempunyai bahan mentah yang mencukupi untuk meningkatkan tenaga biojisim kami," katanya.
Usaha ini dilengkapkan lagi dengan Dasar Ekonomi Biru Sabah, yang bertujuan untuk menuai dan mengurus sumber laut secara mampan.
Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) mengukuhkan lagi status Sabah sebagai perintis dalam TBB berasaskan lautan.
Bagi menyokong peralihan ini, Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah menggariskan inisiatif ke arah keterjaminan tenaga dan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dan infrastruktur tenaga negeri sedang dimodenkan dengan sokongan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
Minyak, Gas dan Kemakmuran Dikongsi Bersama
Minyak dan gas terus menjadi tonggak utama ekonomi Sabah, menyumbang lebih 30 peratus daripada pengeluaran minyak dan kondensat Malaysia dan 18 peratus pengeluaran gas aslinya.
Perbadanan Kemajuan Minyak dan Gas Sabah dan projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) menyokong komitmen negeri untuk membina ekosistem minyak dan gas bersepadu dan bernilai tambah.
“Kami telahpun menerima lebih RM50 juta dividen hasil kerjasama komersial dengan Petronas.
“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Sabah dan Petronas telah memperluaskan penyertaan dan perkongsian hasil negeri dalam kekayaan hidrokarbonnya,” kata Firdausi.
Memanfaatkan Potensi Tenaga Sabah
Walaupun Sabah telahpun terbukti memiliki kekayaan hasil bumi yang mewah, namun perkembangan terkini menunjukkan terdapat potensi penemuan baharu yang bakal membawa anjakan perubahan yang besar: lembangan Layang-Layang, Sandakan dan Semporna.
Melalui pendekatan kluster, yang mengumpulkan blok eksplorasi untuk pembangunan strategik, Sabah memanfaatkan apa yang kini diklasifikasikan sebagai lembangan tidak mengeluarkan hidrokarbon.
Dua daripada blok eksplorasi ini -- SB306A dan SB360B -- sudahpun menjadi tumpuan yang melibatkan syarikat seperti INPEX Corporation yang berpangkalan di Tokyo dan Petronas Carigali Sdn Bhd, dan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) yang disokong kerajaan negeri memainkan peranan utama.
"Ini adalah Peluang Sumber Ditemui (DRO). Ia bermakna sudah ada kuantiti yang diketahui di sana. Tugas kontraktor adalah mengesahkan berapa banyak yang boleh pulih dan kemudiannya ia diekstrak," jelas Firdausi.
Beliau berpendapat tumpuan kepada lembangan ini bukan hanya sekadar untuk mengembangkan rizab tetapi juga mencipta peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti perindustrian, terutamanya di pantai timur Sabah, yang berpeluang mendapat manfaat daripada impak operasi minyak dan gas.
"Ini adalah peluang penciptaan kira-kira 10,000 pekerjaan setahun. Dan dengan OGCE (Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas), akan ada satu lagi inisiatif sampingan untuk industri, membantu terus membangunkan kawasan pantai timur," kata Firdausi.
Model pembangunan juga menggalakkan kerjasama kompetitif antara pengendali.
"Dengan adanya dua pengendali mengusahakan aset -- utara dan selatan -- anda melihat cara yang berbeza untuk membangun dan meneroka. Ia meningkatkan lagi persaingan," katanya.
Strategi ini mencerminkan pendekatan matang Sabah terhadap pembangunan sumber asli: kolaboratif, inovatif dan menjurus kepada pulangan ekonomi dan sosial.
Kesinambungan Masa Hadapan Sabah
Menjelang 2030, Sabah mengunjur mencapai kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 8.0 peratus, dipacu oleh pertanian, pembuatan, minyak dan gas, serta ekonomi digital yang sedang berkembang.
“Dari segi pertumbuhan Sabah mempunyai hampir segala-galanya,” kata Firdausi.
Negeri itu juga memberi tumpuan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke arah kemampanan.
"PKS memerlukan masa untuk beralih. Insentif membantu, tetapi kita juga perlu realistik," kata Firdausi.
Invest Sabah: Meneraju Transformasi
Nadi transformasi Sabah adalah Invest Sabah, pusat pemudahan pelaburan sehenti yang berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
"Kami mahu memastikan negeri ini mempunyai ekosistem domestik yang dinamik, ekonomi inklusif, dan persekitaran menyokong pelabur. Sektor swasta adalah enjin pertumbuhan bagi negeri ini," kata Firdausi.
Dengan dasar yang padu, wawasan strategik, dan potensi yang belum diteroka, Sabah bukan lagi sekadar bersedia untuk masa depan, ia sedang berusaha untuk menggapainya.
-- BERNAMA