Pelan Hala Tuju AEC Bakal Perkukuh Integrasi Dan Daya Tahan Ekonomi - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 akan menggariskan rangka kerja bagi agenda integrasi ekonomi serantau dan meningkatkan ketangkasan dan daya tahannya terhadap kejutan luar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AEC, yang akan diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada Isnin, akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045).
Beliau berkata pelan itu merupakan pelan hala tuju komprehensif yang menggabungkan enam matlamat strategik, 44 objektif dan 192 langkah strategik.
"Pelan itu tepat pada masanya, mencerminkan komitmen ASEAN untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau. Ia berfungsi sebagai instrumen ke arah membina ketangkasan dan daya tahannya terhadap kejutan luar," katanya pada taklimat pra-media Pelan Strategik AEC 2026-2030 di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Pelan Strategik AEC itu bertujuan untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, serta kesalinghubungan sebagai pasaran tunggal untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan, bagi merangsang daya saing rantau ini.
Pelan Strategik AEC menunjukkan kesediaan ASEAN ke arah pembaharuan, kesalinghubungan yang dipertingkatkan, dan inovasi yang berlandaskan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
“Ini akan mengukuhkan daya tarikan dan kapasiti industri ASEAN melalui produktiviti dan kecekapan sumber, di samping menarik pembiayaan dan pelaburan hijau.
“Pelan Strategik AEC juga akan memberi penekanan kepada penubuhan rangka kerja ekonomi digital dan landskap operasi dipacu kecerdasan buatan (AI), berasaskan pembangunan ketersambungan dan infrastruktur digital,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Pelan Strategik AEC sangat menekankan keterbukaan pasaran ASEAN dan kesediaan untuk melibatkan diri dengan rakan luar, walaupun sebahagian daripada ekonomi global kini semakin menjaga kepentingan diri sendiri.
“Libat urus berterusan bukan sahaja dengan pasaran tradisional dan rakan dialog kita, tetapi juga dengan pasaran baharu dan pasaran baru muncul untuk mengukuhkan daya tahan makroekonomi ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata dunia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam dekad yang lalu, dengan pasaran semakin terbuka, negara dan ekonomi memperdagangkan barangan dan perkhidmatan, dan banyak negara secara amnya berkembang maju.
Namun, katanya, dasar perlindungan yang diamalkan oleh pasaran utama tertentu nampaknya akan mengubah semua ini, yang juga boleh memberi tamparan hebat kepada konsep globalisasi dunia.
Di tengah-tengah cabaran ini, Tengku Zafrul berkata ASEAN perlu berusaha sedaya upaya untuk menyelaraskan kepentingan bersama dan bertindak balas dengan cara yang lebih terlaras bagi menangani kekompleksan perdagangan global ketika ini.
Beliau juga berkata kumpulan itu yakin ASEAN akan terus menjadi rantau yang memiliki pelaburan dan perdagangan yang berkembang maju.
“Kami yakin ASEAN berada di landasan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030. Bagi memastikan unjuran tersebut kekal kukuh pada tahun-tahun akan datang, ASEAN perlu membuat penyelarasan dengan baik.
“Kita juga perlu berpegang kepada prinsip bersatu dan berkecuali ASEAN semasa kita mengharungi keadaan tidak menentu pada masa depan, sama ada secara individu mahupun sebagai satu blok,” katanya.
Tengku Zafrul berkata ASEAN juga akan kekal teguh dengan nilai pelengkap ekonomi dan rantaian bekalannya, sambil memastikan tema kepengerusian Keterangkuman dan Kemampanan kekal menjadi keutamaan.
-- BERNAMA