Kehadiran PM China Ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Perkukuh Kerjasama Serantau
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China sulung di Kuala Lumpur minggu depan mencerminkan komitmen tinggi republik itu terhadap kerjasama serantau.
Presiden Dewan Perniagaan Perkongsian Pembangunan ASEAN Datuk Tee Siew Kiong berkata kehadiran Perdana Menteri China itu juga bakal memberi dorongan baharu kepada hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan ASEAN.
Tee berkata dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, negara-negara sedang giat mencari rakan strategik baharu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap satu blok ekonomi sahaja dan meningkatkan daya tahan ekonomi masing-masing.
“Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi global telah membuka peluang penting kepada negara-negara serantau,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa strategi pembangunan ‘dwi peredaran’ yang dicadangkan oleh China, menggabungkan pembangunan pasaran domestik dan kerjasama antarabangsa telah membawa potensi besar kepada negara-negara ASEAN.
China boleh meningkatkan pelaburan dalam bentuk teknologi dan sumber ke negara-negara ASEAN, menggunakan bahan mentah tempatan untuk menghasilkan produk dan seterusnya mengeksport ke pasaran China, sekali gus memenuhi permintaan dalaman dan memacu pertumbuhan ekonomi bersama, kata Tee.
Sebagai contoh, kerjasama pertanian antara Malaysia dan China mempunyai masa depan yang cerah.
Selain pengimportan berterusan produk pertanian seperti durian dan kelapa muda dari Malaysia, kedua-dua negara boleh memperluaskan kerjasama dalam bidang teknologi pertanian dan pertanian hijau.
Melalui inovasi teknologi, nilai tambah pertanian dapat ditingkatkan dan rantaian bekalan yang mampan dapat diwujudkan.
“Apabila ekonomi negara-negara ASEAN meningkat, mereka juga akan mengimport lebih banyak produk dari China. Sekiranya urus niaga ini dibuat menggunakan mata wang renminbi, ia akan memperkukuh kerjasama kewangan serantau dan memberi manfaat kepada ekonomi China dalam jangka panjang,” katanya.
Tee turut menegaskan bahawa kerjasama antara China dan ASEAN harus dibina atas asas saling menguntungkan dan menang-menang, bukan melalui penghantaran barangan murah yang menjejaskan industri runcit tempatan.
“Kerjasama yang sihat adalah kerjasama yang mempertingkatkan daya saing bersama dan membawa kemakmuran kepada kedua-dua pihak,” kata beliau.
Menurut Tee kebangkitan ekonomi ASEAN akan memperkukuh suara dan pengaruhnya di peringkat antarabangsa, serta menjadikannya lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.
Oleh iu, beliau berharap agar sidang kemuncak ini akan merangsang ekonomi Malaysia dan rantau ini.
“Para pemimpin harus mencapai kata sepakat dalam memperkukuh perdagangan dalaman ASEAN, menyeragamkan peraturan kawal selia dan mengurangkan halangan perdagangan, demi menjadikan sistem ekonomi serantau lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA