BERITA TERKINI   Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat selepas Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh, dengan KDNK dijangka berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Keyakinan pelaburan kembali meningkat apabila Malaysia berada pada asas lebih kukuh, dengan KDNK di landasan untuk berkembang dan inflasi terkawal - PM Anwar | Malaysia akan terus berada pada trajektori pertumbuhan positif -- pertumbuhan berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan integriti - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Tolak Permohonan Barakah Lanjut Masa Kemuka Pelan Penyusunan Semula

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia menolak permohonan Barakah Offshore Petroleum Bhd untuk lanjutan masa bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Barakah dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata dagangan dalam sekuriti syarikat itu akan digantung berkuat kuasa 30 Mei 2025.

Selain itu, katanya, sekuriti syarikat akan dinyahsenarai pada 4 Jun 2025 melainkan rayuan terhadap  penyahsenaraian itu dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 29 Mei 2025.

"Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Malaysia," katanya.

Menurut Barakah, jika syarikat mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh rayuan, penyahsenaraian sekuriti syarikat daripada senarai rasmi Bursa Malaysia pada 4 Jun 2025 akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap rayuan berkenaan.

“Bagaimanapun, Bursa Malaysia akan meneruskan penggantungan dagangan sekuriti syarikat pada 30 Mei 2025 walaupun keputusan terhadap rayuan masih belum diputuskan.

"Berkenaan sekuriti syarikat yang kini didaftarkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd, sekuriti itu akan ditarik balik daripada Bursa Depository oleh syarikat selepas penyahsenaraian sekuriti daripada senarai rasmi Bursa Securities," katanya.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia lagi, syarikat akan terus mengemas kini dan mengekalkan maklumat pemegang saham dalam daftar mereka.

"Selepas penyahsenaraian, syarikat akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak tersenarai.

"Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya serta meneruskan penyusunan korporat selain pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran berdasarkan prestasi syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga serta diniagakan di Bursa Sekuriti.

Kepentingan dan hak pemegang saham akan terus dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016.

-- BERNAMA