BERITA TERKINI   Garis panduan keselamatan di sekolah yang ditambah baik akan dikeluarkan hujung tahun ini - KP Pendidikan | Kes rogol di sekolah: Semua suspek dibuang sekolah serta merta - KP Pendidikan | MTL: Pusat Kawalan Operasi Bencana di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal, pastikan pemantauan, koordinasi berjalan lancar - TPM Ahmad Zahid | PM seru anak muda Malaysia terajui langkah tolak rasuah, dukung tadbir urus baik untuk pulihkan integriti | Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | 

Citadel Trustee Sasar AUM RM10 Bilion Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Citadel Trustee Bhd menerusi unit amanah perancang kekayaan persendiriannya, Citadel Dynasty Trust (CDT), menyasarkan aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM10 bilion dalam tempoh lima tahun susulan pelancaran unit berkenaan.

Pengarah Citadel Group Fred Chan Kim Kooi berkata syarikat berhasrat untuk menarik pelanggan pasaran global dan warga emas di Malaysia yang menjadi sebahagian daripada strategi pertumbuhannya.

“Kami menyasarkan lebih banyak golongan warga emas selain pelanggan dari Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara lain yang mempunyai undang-undang cukai warisan yang mahu melaburkan kekayaan mereka di Malaysia,” katanya selepas majlis pelancaran CDT di sini, hari ini.

Chan berkata amanah persendirian itu menawarkan fi penetapan sekali RM40,000 berbanding caj bayaran khidmat tahunan, dalam usaha menarik lebih ramai setlor atau individu yang memindah milik sumber pendapatan atau aset.

Menurutnya, walaupun tiada modal amanah minimum tetap, penanda aras yang dipilih adalah RM1 juta.

Selain itu, CDT versi patuh Syariah pula dijadual dilancarkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Ini sepatutnya lebih pantas kerana merupakan produk yang agak jelas. Kami akan melancarkannya sejurus mendapat kelulusan penasihat Syariah,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Citadel berkata CDT membolehkan akses lebih pantas kepada dana ketika tempoh kritikal selain membantu setlor atau pelanggan mempunyai kawalan penuh ke atas rancangan pemindahan kekayaan mereka.

“Penerima manfaat dapat menerima dana itu dalam tempoh tiga hari bekerja -- jauh lebih cepat daripada garis masa probet sedia ada yang memberi sokongan kewangan dalam saat memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA