BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Malaysia Berpotensi Manfaat Industri Ekonomi Ruang Angkasa Sedang Berkembang Pesat - MOSTI

Oleh Zarul Effendi Razali

LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia berpotensi dan berupaya untuk memperoleh manfaat daripada industri ekonomi ruang angkasa yang sedang berkembang pesat berikutan ketersediaan tenaga kerja tempatan yang besar, sumber yang mencukupi dan infrastruktur serta teknologi yang canggih.

Timbalan Setiausaha Bahagian (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata kedudukan geografi Malaysia sangat sesuai untuk memainkan peranan penting dalam ekonomi angkasa lepas.

"Jika anda berhasrat melancarkan pelancar roket untuk satelit, lokasi Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa memberikan kelebihan besar sebagai tapak pelancaran roket yang mampan, contohnya.

“Ini kerana apabila anda melancarkan roket dari garisan khatulistiwa, anda secara tidak langsung menggunakan sumber dan bahan api yang lebih sedikit dan masa, yang membawa kepada penjimatan kos dan wang,” katanya kepada Bernama selepas perasmian Persidangan Angkasa Lepas – Revolusi Ekonomi Angkasa Lepas: Trend, Teknologi dan Strategi, di sini hari ini.

Persidangan setengah hari ini diadakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 dan berjaya menarik 150 peserta, termasuk pegawai kanan agensi angkasa lepas Asia Tenggara, pemain industri, ahli akademik, kementerian, jabatan dan agensi, serta organisasi antarabangsa.

Sepanjang acara tersebut, Mohd Nor Azman turut menyaksikan pertukaran surat niat (LOI) antara UZMA Bhd dan Global Systemes Asia Sdn Bhd; SpaceIn Sdn Bhd dan Global Systemes Asia Sdn Bhd; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ocullospace Sdn Bhd; Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA); serta MYSA dan Ocullospace Sdn Bhd.

Persidangan yang dianjurkan oleh Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd (GEC) dan disokong oleh MYSA ini berfungsi sebagai platform strategik, yang menghimpunkan pakar daripada sektor angkasa lepas untuk menangani cabaran di peringkat negara, serantau, dan antarabangsa, antara lain.

Turut hadir di acara tersebut adalah penasihat strategi GEC Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi dan Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah.

-- BERNAMA