BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Petronas, Petros Laksanakan Peranan Ikut Lunas Undang-Undang Sedia Ada - Abang Johari

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan melaksanakan tugas dan peranan masing-masing mengikut peruntukan undang-undang Sarawak serta Persekutuan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini, beliau menegaskan kedua-dua syarikat itu komited untuk terus bergerak bersama-sama demi kepentingan negara dan juga Sarawak. 

“Alhamdulillah, kita telah dapat selesaikan masalah yang timbul dan hari ini deklarasi bersama yang bawa persamaan dan pendekatan bersama antara Kerajaan Sarawak khasnya Petronas dan Petros.

“Ia untuk kita usahakan bersama kegiatan minyak dan gas bagi kepentingan negara dan juga mengikut lunas peruntukan sedia ada di antara undang-undang Sarawak dan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Anwar serta barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mengambil berat dan cakna industri minyak dan gas negeri itu.

Hari ini, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mencapai persefahaman dalam isu Petronas dan Petros melalui pemeteraian satu deklarasi bersama ditandatangani Perdana Menteri dan Premier Sarawak.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan dan Peguam Besar Sarawak Datuk Saferi Ali.

-- BERNAMA