BERITA TERKINI   Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | Perkhidmatan KLIA Aerotrain akan mula beroperasi pada 1 Julai ini bermula 10 pagi - Loke | 

Sarawak Cable, Annum Hadapi Nyahsenarai Selepas Bursa Securities Tolak Lanjutan Rayuan

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) mengumumkan bahawa Sarawak Cable Bhd dan Annum Bhd sedang berhadapan dengan nyahsenarai dari bursa saham selepas permohonan masing-masing untuk pelanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi mereka ditolak.

Bursa tersebut melalui satu makluman ke Bursa Malaysia menjelaskan dagangan dalam kedua-dua sekuriti akan digantung berkuatkuasa mulai 28 Mei 2025.

"Sekuriti syarikat akan dinyahsenaraikan pada 30 Mei 2025 melainkan jika rayuan terhadap nyahsenarai itu dikemukakan kepada Bursa Securities menjelang atau sebelum 27 Mei 2025. 

"Apa-apa rayuan yang dikemukakan selepas tempoh masa rayuan tidak akan dipertimbangkan," katanya.

Sekiranya syarikat-syarikat terbabit mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dalam jangka masa rayuan, nyahsenarai sekuriti syarikat-syarikat tersebut dari senarai rasmi Bursa Securities pada 30 Mei 2025 akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Bagaimanapun, Bursa Securities berkata ia akan terus menggantung urus niaga sekuriti kedua-dua syarikat pada 28 Mei 2025 walaupun keputusan rayuan itu masih belum dimuktamadkan.

Selepas dinyahsenarai, syarikat-syarikat ini akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak tersenarai dan masih dapat meneruskan operasi serta perniagaan mereka termasuk meneruskan penstrukturan semula korporat dan para pemegang saham mereka masih boleh diberi ganjaran berdasarkan prestasi syarikat-syarikat ini.

"Bagaimanapun, para pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities. Kepentingan serta hak pemegang saham akan tetap dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016," katanya lagi.

-- BERNAMA