BERITA TERKINI   Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian dan pasukan keselamatan, tindakan undang-undang hanya diambil kepada pegawai terlibat - PM Anwar | Semua keputusan perolehan ATM, PDRM yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya - PM Anwar | Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh - DOSM | KDNK suku keempat 2025 dijangka tunjuk pertumbuhan positif - Akmal Nasrullah | 

Axis-REIT Kemuka Program Sukuk Bernilai RM3 Bilion

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pemegang amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Axis REIT Sukuk Two Bhd mengemukakan Program Sukuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan nilai nominal agregat sehingga RM3.0 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axis-REIT berkata Program Sukuk berkenaan yang berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar membolehkan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam Senior (Sukuk Senior) dan Nota Islam Kekal Subordinat (Sukuk Kekal).

“Hasil yang dikumpulkan daripada terbitan sukuk ini akan digunakan antaranya bagi membantu perbelanjaan modal dan pembangunan Axis-REIT, keperluan modal kerja, pembiayaan semula pembiayaan Islam sedia ada atau pada masa akan datang serta tujuan korporat am yang lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd selaku pengurus Axis-REIT, Leong Kit May berkata ia telah menerima penarafan kredit sulung daripada RAM Rating Services Bhd, yang mengiktiraf asas Axis-REIT yang berdaya tahan serta trajektori pertumbuhannya yang stabil sejak sekian lama.

“Program Sukuk ini membentuk satu aspek penting dalam strategi pengurusan modal berhemat kami memandangkan ia membolehkan kami mempelbagaikan sumber pembiayaan dan mengoptimumkan kos pembiayaan dengan berdisiplin,” katanya.

RAM Ratings telah memberikan penarafan jangka panjang AA2 (s) bagi Sukuk Senior dan A1 (s) bagi Sukuk Kekal, masing-masing dengan prospek stabil sekali gus mencerminkan profil kredit Axis-REIT yang mantap serta rekod prestasi operasi yang terbukti.

Penarafan itu juga menandakan pencapaian penting bagi Axis-REIT berikutan kali pertama menerima penarafan kredit sulung berdasarkan kekuatan kredit korporatnya.

-- BERNAMA