BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Ringgit Dibuka Mengukuh Berbanding Dolar AS Susulan Penurunan Penarafan Kredit AS Oleh Moody’s

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi hari ini berbanding dolar AS, disokong oleh penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) oleh Moody’s baru-baru ini berikutan kebimbangan mengenai hutang yang meningkat.

Pada 8.03 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2850/3140 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2980 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Moody’s Ratings telah menurunkan penarafan kerajaan AS sebanyak satu tahap kepada Aa1 daripada AAA pada Jumaat lepas. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata alasan utama untuk langkah tersebut ialah hutang kerajaan AS dijangka terus meningkat dan defisit fiskalnya yang akan merosot.

“Bagaimanapun, agensi penarafan kredit itu terus mengiktiraf status istimewa dolar AS sebagai mata wang rizab global.

“Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) dijangka menurun berikutan reaksi segera itu,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau menjangka mata wang tempatan dan mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain akan meningkat berbanding dolar AS hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.7495/8269 daripada 4.8022/8112 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.7020/7406 daripada 5.7018/7125 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.9509/9711 daripada 2.9470/9527 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3010/3236 daripada 3.3041/3105 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.75 daripada 7.71/7.73 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 260.5/262.4 daripada 260.8/261.5 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9024/13.0026 daripada 12.9003/9318 sebelum ini.

-- BERNAMA