BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

Syarikat Semikonduktor, E&E Berdepan Tekanan Tarif Dikenakan AS - MSIA

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Syarikat semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia tidak akan dapat menyerap implikasi daripada tarif Amerika Syarikat (AS) atau mengekalkan harga untuk pelanggan di AS, menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Dapatan daripada Kaji Selidik Suku Tahunan E&E dan Semikonduktor MSIA pada suku pertama 2025 menunjukkan sebanyak 74 peratus daripada responden bersetuju dasar dan tarif AS akan menjejaskan pelaburan dan tarikan Malaysia manakala 65 peratus menyatakan ia akan memberi impak negatif kepada industri E&E Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Kaji selidik suku tahunan itu dijalankan melibatkan lebih 300 ahli, menilai sentimen, trend, cabaran dan peluang dalam industri E&E dan semikonduktor Malaysia.

Ia tertumpu kepada implikasi tarif AS, dasar perdagangan dan tindak balas antarabangsa, terutamanya siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 AS.

Dalam kenyataan, Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata perubahan tarif yang kerap dan kawalan eksport telah mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan kos dan memperlahankan ekonomi global.

“Gangguan ini dijangka menjejaskan permintaan global, memberi impak kepada Malaysia dan negara perdagangan utama lain.

“MSIA berharap kerajaan dapat berunding dengan AS untuk terma tarif yang lebih baik terutamanya berdasarkan sumbangan Malaysia selama lima dekad terhadap kebangkitan syarikat gergasi semikonduktor AS,” katanya.

Katanya MSIA mengiktiraf dan memuji usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan negara dan giat berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk memastikan kebimbangan dan cadangan industri disampaikan dengan baik dalam rundingan dengan AS.

-- BERNAMA