BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka Reach Energy, Denda Enam Pengarah

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Reach Energy Bhd dan tujuh pengarahnya berikutan melanggar Keperluan Pengurusan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, enam pengarah syarikat itu juga dikenakan denda sebanyak RM50,000 setiap seorang.

Bursa Malaysia berkata Reach Energy diberikan amaran secara terbuka berikutan gagal membuat pengumuman pertama mengikut Nota Amalan 17 (PN17) secara segera selepas pengumuman laporan suku keempat syarikat bagi tahun kewangan berakhir 21 Dis, 2022 pada 28 Feb, 2023.

Syarikat itu hanya membuat pengumuman pertama pada 3 April 2023 iaitu selepas tertangguh kira-kira sebulan, katanya.

"Bursa Malaysia Securities memandang pelanggaran peraturan ini dengan serius berikutan pengumuman pertama penting kepada pemegang saham dan pelabur kerana ia berkaitan dengan keadaan kewangan Reach Energy.

 "Akibatnya, syarikat itu diklasifikasi sebagai syarikat yang mengalami kesukaran kewangan mengikut PN17 berbanding dengan kemungkinan penggantungan dan penyenaraian semula jika syarikat gagal untuk memulihkan keadaan kewangannya dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Sehubungan itu, Bursa Malaysia berkata pendedahan maklumat yang tepat pada masanya berkaitan dengan klasifikasi atau penyebab PN17 penting untuk memudahkan keputusan pelaburan yang dimaklumkan.

Selain itu, Bursa Malaysia juga mengingatkan Reach Energy dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian yang sesuai dalam tanggungjawab korporat serta akauntabiliti kepada pemegang saham serta orang awam yang melabur.

-- BERNAMA