BERITA TERKINI   Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | 

PM Anwar Sampaikan Perspektif Malaysia Di Rusia, Terima Anugerah Doktor Kehormat MGIMO

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN, 15 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di pusat pengajian terkenal di  Rusia, Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO).

Beliau akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia” di universiti tersebut.

Sejurus selesai, Perdana Menteri dijadualkan menerima anugerah doktor kehormat daripada MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa. 

Usai segmen pertama lawatan rasmi beliau di Moscow, Perdana Menteri dan delegasi akan berlepas ke Kazan, Tatarstan, bagi menyertai beberapa lagi acara yang telah diatur. 

Agenda pertama Anwar di Kazan adalah mengadakan perjumpaan dengan Rais Republic of Tatarstan sejurus tiba di sini.

Pada sebelah petang, beliau akan dibawa melawat Kazan Kremlin yang terkenal dengan kumpulan bangunan bersejarah luar biasa yang bermula dari zaman pemerintahan Islam.

Kremlin terdiri daripada beberapa kompleks sejarah, seni bina dan arkeologi, termasuklah kubu pertahanan, istana gabenor dan Menara Syuyumbeki.

Tatarstan merupakan salah satu entiti persekutuan terkaya di Rusia, dengan ekonominya berasaskan pengeluaran minyak dan industri yang penting.

Mengikut data yang dikumpul pada 2021, majoriti atau hampir separuh daripada penduduk Tatarstan terdiri daripada Tatar Muslim Sunni (54 peratus).

Perdana Menteri bersama delegasi kemudiannya akan menyertai  Kazan Expo dengan mengunjungi pameran teknologi dan juga ekspo pameran halal Rusia. 

Beliau juga dijangka menghadiri majlis Gala Reception on the occasion of the XVI International Economic Forum “Russia – Islamic World: KazanForum 2025”.

Kazan Agro–Industrial Park  yang berlangsung dari 13 Mei hingga 18 Mei, akan menjadi tuan rumah kepada Pameran Perdagangan Antarabangsa Kazan Halal Market sempena Russia – Islamic World: KazanForum 2025.

Tatarstan mempunyai lebih daripada 150 pengeluar produk halal dengan kira-kira 20 syarikat berorientasikan eksport.

Republik itu merupakan pengeksport utama petroleum bertapis (US$4.28 bilion), petroleum mentah (US$3.84 bilion), getah sintetik (US$1.06 bilion), baja Nitrogen (US$202 juta), dan minyak biji benih (US$196 juta).

Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke Rusia berakhir esok. 

-- BERNAMA