BERITA TERKINI   Ringgit ditutup rendah pada 3.9425/9535 berbanding dolar AS hari ini, daripada 3.9415/9480 semalam | Unit Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, memperoleh saham MOF Inc, baki pinjaman dalam DNB pada RM327.87 juta | Bursa Malaysia tegur Pengarah Eksekutif merangkap CEO TFP Solutions, Datin Eugena Braganza kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities | Polis ambil keterangan tiga individu bantu siasatan dakwaan jatuhkan kerajaan, lakukan sabotaj terhadap kestabilan negara - KPN | Konflik Asia Barat : Polis tingkatkan rondaan, penugasan di sempadan atau sasaran penting dalam negara - KPN | 

Keputusan Laksanakan Subsidi RON95 Akan Ambil Kira Ekonomi Semasa - Hanifah Hajar

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dalam membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol RON95, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata keputusan itu juga memerlukan pertimbangan teliti di peringkat Jemaah Menteri, termasuk mengambil maklum balas daripada kementerian-kementerian berkaitan.

"Kita perlu melihat (dahulu) keadaan ekonomi dan apa dicadangkan akan dibentangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran WE2025: Future in Motion, hari ini.

Hanifah Hajar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan berkaitan penyasaran semula subsidi RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

Usaha itu kini dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif ditetapkan.

Pada Mac lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan penyasaran itu sedang diperhalusi dan akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga tidak mahu membuat sebarang prapengumuman mengenai pelaksanaannya pada masa ini dan dijangka mengumumkannya selepas tempoh separuh pertama 2025.

-- BERNAMA