BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi menjatuhi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion berkaitan 1MDB | Terengganu kembali dilanda banjir, tiga PPS dibuka petang ini - APM Terengganu | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas semua 21 tuduhan pengubahan wang haramĀ - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan keempat guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | 

Bursa Malaysia Diunjur Kekalkan Momentum Positif Minggu Depan

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengekalkan momentum positif minggu depan, didorong oleh sentimen pelabur yang lebih baik dan prospek pasaran global yang optimis, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dari perspektif teknikal, FBM KLCI berada di atas paras purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan 50 hari, yang menunjukkan kecenderungan jangka pendek yang positif.

“Pertumpuan-Pencapahan Purata Pergerakan (MACD) kekal melebihi garis isyarat dengan histogram berkembang secara positif, memperlihatkan momentum meningkat. Petunjuk teknikal ini menunjukkan prospek pasaran yang membina dengan potensi peningkatan selanjutnya.

“Sehubungan itu, menjelang minggu depan, kami menjangkakan momentum meningkat ini akan berterusan dengan indeks petunjuk pasaran dijangka bergerak antara 1,520 dan 1,560, masing-masing sebagai paras sokongan dan rintangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan mengekalkan pandangan positif mengenai trajektori jangka pendek FBM KLCI, dengan menjangkakan kenaikan yang berlaku baru-baru ini adalah berterusan.

“Indeks petunjuk pasaran dilihat bersedia untuk melepasi paras rintangan 1,555 -- paras yang kali terakhir diuji pada awal Mac ketika tempoh spekulasi tarif yang tinggi -- malah, mungkin meningkat menuju 1,560 sekiranya momentum ini berkekalan.

"Prospek jangka pendek kami kekal didorong oleh gabungan beberapa faktor: sentimen konfrontasi yang berkurangan dalam hubungan Amerika Syarikat (AS)-China, peningkatan aliran masuk modal asing dalam aset Malaysia, dan ringgit yang secara umumnya stabil," katanya.

Pasaran juga akan memberi tumpuan kepada rundingan perdagangan antara AS dan China yang dijadualkan pada 10 Mei di Geneva, Switzerland.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama meningkat 4.01 mata kepada 1,546.50 daripada 1,542.49 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas menokok 30.66 mata kepada 11,520.04, Indeks FBMT 100 naik 28.69 mata kepada 11,285.93, Indeks FBM Emas Shariah menambah 85.41 mata kepada 11,475.76, Indeks FBM 70 naik 39.16 mata kepada 16,313.70 dan Indeks FBM ACE meningkat 33.75 mata kepada 4,682.95.

 Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.15 mata kepada 154.44, Indeks Tenaga susut 1.53 mata kepada 693.44, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 185.66 mata kepada 18,055.29, Indeks Perladangan susut 37.34 mata kepada 7,246.43, dan Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 53.83 mata kepada 1,888.59.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14.27 bilion unit bernilai RM11 bilion daripada 10.96 bilion unit bernilai RM8.26 bilion pada minggu terdahulu. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 6.95 bilion unit bernilai RM10.36 bilion daripada 5.61 bilion unit bernilai RM7.44 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 5.38 bilion unit bernilai RM724.18 juta daripada 3.99 bilion unit bernilai RM399.64 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.95 bilion unit bernilai RM499.42 juta daripada 1.35 bilion unit bernilai RM411.63 juta sebelumnya.

Pasaran akan ditutup pada Isnin, 12 Mei bersempena cuti umum Hari Wesak.

-- BERNAMA